Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksMoU Brunei Darussalam and Malaysia

Memorandum Persefahaman Antara Negara Brunei Darussalam Dengan Kerajaan Malaysia

Memorandum Persefahaman (Mou) antara

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan
Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam

dengan Kerajaan Malaysia Dalam Bidang Penerangan

 

PENGENALAN

Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Teknikal Dalam Bidang Penerangan (JTCIM) Ke-4 di bawah Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah diadakan pada 11-12 Mei 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berbahagia Dato' Sri Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Yang Mulia Awang Haji Mohd. Rozan Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet), Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam.

Ketua delegasi dari kedua-dua negara menyatakan rasa gembira di atas hubungan erat di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Mah Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam bidang penerangan dan penyiaran. Hubungan ini telah dijalinkan sejak 23 tahun dengan termerainya Memorandum Persefahaman kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Negara Brunei Darussalam. Hubungan kerjasama yang sedia erat ini akan terus ditingkatkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, menyatakan bahawa bidang penyiaran dan penerangan merupakan wadah penting bagi pertukaran maklumat, meluaskan kesedaran dan memupuk persaudaraan yang sedia ada di antara kedua-dua negara. Malaysia dan Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan program-program yang aktif dalam bidang siaran berita rencana radio, liputan isu-isu semasa, penganjuran pameran, pertukaran bahan penerbitan, pertukaran tenaga kerja pakar dan penerbitan bersama program televisyen. Beliau juga menekankan bahawa bidang penyiaran dan penerangan perlu sentiasa ditambah baik dari segi komersial dan teknologi agar manfaatnya dapat dipertingkatkan.

Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri Negara Brunei Darussalam menyatakan bahwa mesyuarat pada kali ini merupakan satu wadah yang baik membuat rangkaian rakan kongsi baru iaitu 'networking' selain meneruskan kerjasama sedia ada dan membuat perbincangan untuk membentuk kerjasama yang baru dalam bidang penerangan dan penyiaran.

Program dan kerjasama yang baru dan inovatif dapat dibincangkan dalam mesyuarat ini bagi memastikan negara dan penduduk kedua-dua buah negara akan mendapat manfaat yang optima daripada kerjasama dua hal ini. Beberapa cadangan baru dalam bidang penerangan dan penyiaran termasuk penyiaran digital telah disarankan untuk dipertimbangkan.

Tandatangan

Minit Persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Teknikal Bidang Penerangan (JTCIM) ke-4 di bawah Memorandum Persefahaman di antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah ditandatangani pada 12 Mei 2015 di Kuala Lumpur, Malaysia.

Bagi pihak Kerajaan Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Awang Haji Mohd Rozan Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Cadangan kerjasama baru dalam bidang penyiaran seperti berikut :-

1.         Kerjasama Penerbitan Radio

2.         Kerjasama Penerbitan Televisyen

3.         Kerjasama Program Sangkutan, Latihan dan Perkongsian Ilmu

4.         Kerjasama dalam Media Baharu

5.         Kerjasama pendigilan bahan Penerbitan

6.         Kerjasama Pembangunan Modal Insan

 

Kerjasama dalam bidang penerangan dan penyiaran

Kedua-dua negara bersetuju bagi membincangkan Kerjasama dua hala antara Negara Brunei dengan Malaysia melibatkan aspek-aspek berikut :

  1. Kerjasama Berita TV dan Radio
  2. Kerjasama Penerbitan TV
  3. Kerjasama Penerbitan Radio
  4. Kerjasama Latihan
  5. Kerjasama Kejuruteraan
  6. Program pertukaran bahan-bahan penerbitan dan pameran
  7. Program pertukaran pegawai-pegawai penerangan
  8. Pertukaran Persembahan / Penempatan wartawan dan jurugambar