Skip Ribbon Commands
Skip to main content

TITAH

2015 - Titah KDYMM sempena Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-69 Tahun pada 15 Ogos 2015 di Istana Nurul Iman

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen,
Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


Alhamdulillah, kita bersyukur kerana dapat meraikan Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dalam keadaan aman lagi sejahtera.


Sekali lagi, istiadat perayaan ini berlangsung, sesudah kita umat Islam di negara ini berjaya menyempurnakan ibadat puasa dan juga setelah selesai meraikan Hari Raya 'Idil Fitri yang mubarak.


Beta dengan perasaan tulus ikhlas, terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada tetamu-tetamu khas beta, yang sudi hadir ke istiadat ini, dan juga kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada beta serta keluarga, bersempena dengan perayaan ini.


Setiap perubahan atau perkembangan dunia, biasanya turut dirasakan bahangnya oleh semua pihak, termasuk juga kita di negara ini, kerana kita juga adalah sebahagian daripada warga dunia itu. Bahang tersebut meliputi sudut-sudut sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya.


Kewajipan kita dalam menghadapi bahang seperti ini, supaya tidak gelabah, tetapi perlu untuk banyak-banyak bertenang dan bersikap lebih bijaksana.


Jika kita bertindak, maka bertindaklah dengan cara kita, seperti juga kalau berfikir, maka berfikirlah dengan cara kita orang-orang Brunei berfikir, tanpa perlu meniru-niru cara orang lain.


Yang penting, kita menangani sebarang impak perubahan dan perkembangan itu, ialah dengan cara realistik dan pragmatik, bagi mempastikan semuanya adalah tetap kukuh dan stabil.


Jika kita merancang, maka perancangan itu hendaklah didukung oleh keupayaan sumber manusia yang berkemahiran dan cekap, supaya dengan itu dapatlah kita memperolehi hasilnya dengan memuaskan.


Supaya perancangan lebih efektif, maka Perkhidmatan Awam perlu mengambil langkah memperkukuhkan lagi 'akauntabiliti' dalam pentadbirannya. Melalui ini, ia dapat diharapkan untuk menerapkan 'budaya prestasi' atau performance culture dalam Perkhidmatan Awam itu.


Perlu diingat, matlamat kita ialah untuk mengekalkan apa yang ada pada masa ini, supaya ia dapat dinikmati oleh generasi kita silih berganti. Ini adalah satu azam yang mulia.


Terutama ketika menghadapi cabaran ekonomi masa kini, kita adalah diperlukan untuk meningkatkan iltizam membangun dan membina diri. Tidak ada yang lebih mustahak dari mengekalkan daya tahan bagi jangka masa yang panjang.


Tanpa mengabaikan sumber yang sedia ada, langkah mempelbagaikan ekonomi juga mestilah diteruskan. Ini namanya proses 'peningkatan', di mana semua pihak perlu untuk terlibat.


Dalam ekonomi, satu asas penting untuk dimiliki ialah kebolehan kita merebut peluang. Peluang itu biasanya hanya sekali. Ia jarang berulang. Jika kita tidak merebutnya, kita akan ditinggalkan jauh begitu saja.


Menyebut tentang 'peluang' ini, segera mengingatkan kita kepada 'peluang pekerjaan'. Adapun usaha mengwujudkan peluang pekerjaan itu, merupakan suatu usaha murni, kerana ia membawa kepada kesejahteraanrakyat.


Peluang ini sebenarnya ada, tetapi masih saja terpulang kepada pencari-pencari pekerjaan masing-masing. Pada lumrahnya, peluang itu lebih banyak diisi oleh pekerja-pekerja asing di sektor swasta, sementara bagi pencaripencari kerja dari kalangan anak tempatan pula, mereka itu dilihat, sebagai lebih memilih untuk bekerja di sektor awam atau kerajaan.


Ini juga pada hemat beta, merupakan satu kelemahan ketara yang perlu diperbaiki. Kelemahan ini berpunca daripada sikap, sedangkan sikap adalah penentu kepada maju mundurnya sesuatu bangsa. Jadi tidak diragukan lagi, sikap memilih-milih pekerjaan itu boleh dianggap sebagai satu penghalang kepada perkembangan dan kemajuan bangsa.


Maka jelaslah, yang penting di sini ialah, Brunei mesti dengan segera melakukan penghijrahan minda : Dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh, kepada rajin bekerja. Dari banyak bergantung harap, kepada lebih membanyakkan usaha, dan dari kurang berdikari, kepada lebih berdikari. Inilah sumber kekuatan kita.


Di arena antarabangsa, kita akan terus memupuk dan mempererat lagi hubungan persahabatan serta kerjasama dengan negara-negara luar, di antaranya, melalui keahlian negara dalam pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.


Kita juga memainkan peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa, di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, yang dilanda oleh malapetaka dan bencana alam, selaras dengan kemampuan kita.


Akhirnya, beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan beta.


Penghargaan yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di kedua peringkat, kebangsaan dan daerah, atas segala khidmat usaha mereka untuk menjayakan perayaan pada tahun ini.


Beta berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan terus kekal aman dan makmur, di bawah naungan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.


Amin.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Attachments
Created at 19/08/2015 08:15 by Mohammad Nor Amirudin Bin Haji Brahim
Last modified at 23/06/2018 09:30 by Muhammad Hafizhuddin bin Tasad