TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA HARI ULANG TAHUN KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-70 TAHUN BAGI TAHUN 2016
BERTEMPAT
DI ISTANA NURUL IMAN
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah
Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden,
Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin,
Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah,
beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat meraikan
Hari Keputeraan beta pada tahun ini, dalam keadaan aman lagi selesa.
Istiadat
berlangsung pada tahun ini, ketika mana kita baru saja sempurna
melaksanakan ibadat puasa dan kini sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri
yang mubarak.
Beta sekali lagi
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya.
Beta berharap kita di negara ini akan mengamalkan sifat berhemah dan
sederhana dalam meraikan apa saja sambutan perayaan selaras dengan
ajaran ugama kita yang suci.
Melalui
istiadat ini, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan terima kasih serta
penghargaan kepada semua tetamu khas beta yang sudi hadir dan juga
kepada semua pihak yang telah menyembahkan perutusan ucap selamat kepada
beta serta keluarga bersempena dengan perayaan ini.
Beta
mengajak semua rakyat di negara ini supaya sama-sama bersyukur kerana
dapat secara berterusan menikmati keamanan dan kesejahteraan. Namun ini
bukanlah tiket untuk kita melonggarkan sikap berhati-hati terhadap
sebarang kemungkinan yang tidak diingini. Bahkan senario hari ini
meminta kita untuk lebih berwaspada lagi.
Turut
lebih kita beratkan ialah membangun ekonomi. Brunei tidak boleh leka
dalam keadaan ekonomi global dilihat sedang bermasalah. Brunei perlu
mempelbagaikan ekonominya sambil terus meningkatkan hasil Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK). Kita perlu lebih aktif serta mempunyai agenda
lebih terancang bagi mencapai sasaran ini.
Usaha-usaha
peningkatan perlulah menyeluruh terutama bagi bidang yang dianggap
utama, seperti pertanian makanan asasi. Bidang ini mestilah terus
diperkasa sehingga mampu untuk kita memenuhi sara diri. Kita tidak boleh
selama-lamanya bergantung kepada pihak luar sahaja. Sayugia perkara ini
dapat diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan dalam kerajaan.
Sudah
tiba masanya untuk Brunei mengaktifkan segala usaha tanpa
berlengah-lengah lagi. Salah satu contoh ke arah itu, kita sekarang
sedang merancang untuk menggerakkan ekonomi negara, dengan kerajaan
mengungkayahkan satu projek membina sistem pengangkutan yang selamat
dan cekap. Projek ini ialah untuk memanjangkan Dermaga Pelabuhan Muara
dan membesarkan terminal kontena Muara. Ia akan menjadi pemudahcara bagi
kemasukan dan penarikan pelabur luar asing ke negara ini.
Di
samping itu, secara umum kita juga menggalakkan sifat kreatif dan
inovatif dalam melaksanakan semua projek pembangunan melalui kaedah
Kerjasama Awam Swasta atau Public Private Partnership. Kaedah
ini bertujuan sebagai pendorong ke arah perkongsian di antara sektor
awam dan swasta dalam melaksanakan projek-projek kerajaan.
Menyebut
lagi permasalahan ekonomi, baru-baru ini, rakyat Britain telah
memutuskan untuk keluar dari Kesatuan Eropah atau Brexit. Keputusan ini
menimbulkan sedikit gusar di kalangan para pelabur kerana ia dilihat
sebagai mampu untuk menjejaskan nilai pelaburan di bursa-bursa saham
antarabangsa dan malah juga turut berisiko ke atas nilai mata wang
negara berkenaan sendiri. Brunei sebagai negara yang juga terlibat dalam
perdagangan antarabangsa tidaklah terkecuali dari turut merasakan kesan
keputusan tersebut.
Namun
Alhamdulillah, dengan adanya dasar kerajaan melaksanakan pelaburan
seimbang, maka risiko tersebut dapat kita tangani secara terurus.
Beta
penuh yakin, Kerajaan Britain dan antarabangsa adalah mampu untuk
menangani pelbagai isu berpunca dari Brexit tersebut, berdasarkan
pengalaman yang luas semua pihak dalam mengatasi semua permasalahan yang
ada.
Brunei sendiri akan terus
menghargai hubungan dengan United Kingdom, khasnya hubungan perdagangan
yang telah berjalan sekian lama itu. Kita akan tetap mengukuhkan
hubungan ini untuk kebaikan bersama kedua-dua buah negara.
Ke
arah peningkatan ekonomi, kerajaan beta juga terus memacu perkembangan
pendidikan. Kerana pendidikan juga adalah aset, malah 'kuasa' untuk
menentukan kelangsungan bangsa.
Sebab
itu kualiti pendidikan, tidaklah ia dapat dikompromi melainkan mesti
terus diperkaya dan ditingkatkan. Ini adalah harapan kita kepada
Kementerian-Kementerian Pendidikan dan Hal Ehwal Ugama supaya sama-sama
dapat berbincang dan bekerjasama dengan Unit PENGGERAK di Jabatan
Perdana Menteri untuk mencari jalan, bagaimana prestasi Pendidikan
Rendah dan Menengah khasnya, dapat ditingkatkan. Kerana dalam era
mutakhir ini, beta sendiri mendapati masih ada perkara yang perlu
diperbaiki.
Selaku tonggak utama
Wawasan Brunei 2035, pendidikan tidak boleh berada di bawah, melainkan
tempatnya ialah di atas untuk benar-benar diambil berat. Kerana
pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat untuk menentukan maju
mundurnya sesuatu bangsa. Jika pendidikan lemah, maka tidak siapapun
yang akan memandang tinggi kepada kita.
Di
peringkat antarabangsa, negara kita akan terus bekerjasama
dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa dalam menjana pertumbuhan
ekonomi dan lain-lain kepentingan melalui rangkaian-rangkaian pemangkin
serantau dan antarabangsa.
Demikian
juga kita akan sentiasa bersama-sama memainkan peranan dalam hal ehwal
keselamatan serantau mahupun antarabangsa, di samping menghulurkan
bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak-pihak yang memerlukan, selaras
dengan kemampuan kita.
Akhirnya, beta
dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga
Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang
berkhidmat di sektor swasta termasuk mereka yang bertugas di luar negara
di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan beta.
Penghargaan
yang setinggi-tingginya juga disampaikan kepada seluruh Ahli
Jawatankuasa Perayaan peringkat kebangsaan dan daerah, atas segala
khidmat usaha yang disumbangkan untuk menjayakan perayaan ini.
Beta
berdoa semoga kita semua serta Negara Brunei Darussalam akan sentiasa
kekal aman dan makmur, dikurniakan dengan limpah rahmat dan perlindungan
oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.