Mengukuhkan semangat solidariti, patriotik penuntut
Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Sabtu, 9 Mac. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' dengan berkunjung ke Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, Lambak Kanan.
Seramai 176 penuntut Tahun 7 menghadiri taklimat yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Pengetua dan para tenaga pengajar.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris, yang antara lain menyentuh mengenai raja, sejarah dan tatacara menaik-kibarkan bendera negara serta sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.
Selain itu, para penuntut juga menyaksikan tayangan klip video 'Semarak Pengibaran Bendera' dan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara' serta menyertai Kuiz Kenegaraan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.