Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Memahami tanggungjawab rakyat kepada negara

Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 Februari. - Matlamat tanggungjawab negara kepada rakyat antaranya memberi perlindungan dan jaminan kesejahteraan, menyediakan kemakmuran dan kebajikan serta menjaga keselamatan dan ketenteraman.

Beberapa aspek diketengahkan dalam mewujudkan pembangunan sosioekonomi yang stabil dan berterusan seperti pendidikan, keselamatan, perkhidmatan kemasyarakatan, perumahan kesihatan, hal ehwal ugama, perkhidmatan elektrik, bekalan air, wanita dan belia, pengangkutan darat, penerbangan awam, telekomunikasi, perkhidmatan pos, pembangunan bandar, jalan raya, pelabuhan dan pengangkutan dan juga sukan.

Ketua Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris semasa menyampaikan Taklimat Kenegaraan bertajuk 'Peranan dan Tanggungjawab Sebagai Rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam' seterusnya menerangkan mengenai Wawasan Brunei 2035 yang meliputi rakyat yang berpendidikan tinggi, kemahiran dan berjaya; rakyat yang mempunyai kualiti kehidupan yang tinggi; serta ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Agro-Teknologi di sini, Dayang Hajah Noorhijrah juga menjelaskan tanggungjawab rakyat kepada negara dan pemerintah antaranya taat setia kepada raja dan sultan; menghormati dan mematuhi perlembagaan dan undang-undang negara; mendaulatkan sistem pemerintahan beraja mengiktiraf dan menghormati bangsa Melayu dan agama Islam; mendukung Wawasan Brunei 2035; dan mewujudkan perasaan setia dan cinta kepada negara

Sementara tanggungjawab kepada masyarakat pula tambahnya, ialah mengiktiraf, menghormati dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada para pemimpin masyarakat setempat seperti Penghulu dan Ketua Kampung; melibatkan diri kepada kegiatan badan kebajikan dan persekutuan setempat seperti Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, kejiranan kampung, badan koperasi, pertubuhan dan persatuan, kegiatan kebajikan dan ugama serta penyertaan diri bersama masyarakat setempat dalam acara-acara keagamaan dan sosial peringkat kampung, mukim, daerah dan negara.

Pada sesi Taklimat Kenegaraan berkenaan juga menerangkan mengenai sejarah bendera dan Negara Brunei Darussalam selain daripada peraturan dan cara mengibarkan bendera negara serta kesalahan pengibaran bendera.

Taklimat yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik dihadiri seramai 254 pelajar IBTE termasuk dari Pusat Tingkatan Enam (PTE).

Juga hadir ialah Pengurus Kampus, Dayang Mardiana binti Haji Tahir serta para tenaga pengajar.

Program Taklimat Kenegaraan antaranya bertujuan untuk menanamkan rasa cinta kepada raja, bangsa dan negara di samping menyuntik semangat patriotisme dalam diri para pelajar melalui taklimat yang disampaikan.

Selain itu, ia juga dihasratkan bagi mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 dan inisiatif dalam Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035.

Kuiz kenegaraan turut diadakan bagi menguji kefahaman pelajar tentang taklimat yang disampaikan.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengurus Kampus berkenaan.

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (5).jpg 

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (6).jpg 

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (4).jpg 

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (3).jpg 

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (1).jpg 

TK IBTE Kampus Agro Teknologi (2).jpg
 


Attachments
Created at 02/03/2024 01:06 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 02/03/2024 01:06 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin