Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Sambutan Israk, Mikraj terus disemarakkan

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BERAKAS, Khamis, 15 Februari. - Ibadah sembahyang bukanlah satu perkara yang hanya dipandang ringan bahkan ia adalah satu tuntutan tiang ugama dan merupakan ibadat yang sangat besar kedudukannya dalam Islam. Sembahyang adalah perkara awal yang difardukan ke atas umat Islam daripada segala ibadat dan perkara pertama yang dihisab ke atas hamba di akhirat kelak.

Ingatlah bahawa Allah Subhanahu Wata'ala menciptakan jin dan manusia untuk menyembah-Nya. Oleh itu, keistimewaan sembahyang adalah sebagai penghubung manusia dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan mendekatkan dengan rahmat-Nya.

Perkara tersebut antara inti pati yang disampaikan dalam Ceramah Khas bertajuk 'Sembahyang Tiang Ugama' oleh Dekan / Pensyarah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya bagi tahun 1445 Hijrah, bertempat di Masjid Ash-Shaliheen hari ini.

Menurut Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi lagi, kewajipan sembahyang itu tidak ada kelonggaran. Apa pun yang kita mahu lakukan, hendaklah tetap menunaikan sembahyang. “Bayangkan, andai hubungan kita dengan Allah sudah terjaga sebaiknya, apa lagi yang kita mahukan di dunia ini, pastinya semua akan Allah bagi.

“Selagi mana 'kitani' menjaga sembahyang 'kitani', insyaaAllah perkara-perkara yang tidak kita ingini pasti akan dapat 'kitani' atasi dan kuncinya adalah dengan sembahyang," ujarnya menambah.

Beliau turut menjelaskan, kelebihan orang yang menjaga sembahyang adalah ia akan dicintai Allah Subhanahu Wata'ala dan akan dijaga oleh malaikat, badan selalu sihat, diberikan keberkatan pada rumahnya dan pada wajahnya menunjukkan tanda orang soleh serta mereka akan sentiasa dilindungi dan dikurniakan rezeki yang berterusan.

Jelas Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi, orang yang menjaga sembahyang pada awal waktu akan diangkat kesusahan dalam kehidupannya, diangkat seksa kuburnya dan surat catatan amalannya diserah kepadanya dengan tangan kanan. Kelebihan mereka yang sembahyang pada awal waktu juga ialah mereka akan melalui Sirat Mustaqim secepat kilat dan masuk ke dalam Syurga tanpa hisab.

Beliau turut menjelaskan, sembahyang adalah sebagai menunjukkan rasa syukur kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang telah memberikan pelbagai nikmat kepada hamba-Nya.

“Setiap hari kita akan buat dosa, sebab itu iman kita boleh jadi kuat, boleh jadi lemah, maka sembahyang itulah yang akan menjadikan iman kita kembali segar dan kuat. Apa pun masalah dalam kehidupan kita ini, laksanakanlah sembahyang," terangnya.

Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof. Juga hadir sama, Timbalan-timbalan Menteri di JPM, jemputan-jemputan khas dan ketua-ketua jabatan di bawah JPM.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran. Sejurus penyampaian Ceramah Khas, majlis diserikan lagi dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid.

Acara sambutan kali ini dikendalikan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BCCS) dan Jabatan Penerangan, JPM.

ISRAMIRAJJPM.jpeg

ISRAMIRAJJPM (2).jpeg

ISRAMIRAJJPM (3).jpeg

ISRAMIRAJJPM (4).jpeg

ISRAMIRAJJPM (5).jpeg


Attachments
Created at 26/02/2024 10:09 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 26/02/2024 10:09 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin