Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Tingkat semangat patriotisme melalui Kempen Semarak Kebangsaan

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani, Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Februari. - Dengan hasrat untuk meningkatkan semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi di kalangan rakyat dan penduduk negara ini dan menanamkan sikap masyarakat supaya sentiasa menyemarakkan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Bendera Negara, Jabatan Penerangan hari ini mengendalikan Kempen Semarak Kebangsaan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-40, Tahun 2024 di keempat-empat buah daerah.

Kempen Semarak Kebangsaan dilancarkan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini bertempat di Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan, di sini.

Terdahulu, Pemangku Pengarah Penerangan turut menyampaikan Bendera Negara kepada ketua-ketua rombongan konvoi yang terdiri daripada Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim (Konvoi 1) dan Pegawai Penerangan Kanan, Ketua Bahagian Cawangan Daerah, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar (Konvoi 2).

Kempen Semarak Kebangsaan dilaksanakan dengan format konvoi ke mukim-mukim yang dipilih di setiap daerah. Destinasi dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu 'Konvoi 1' menuju ke Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, manakala 'Konvoi 2' ke Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Dari ibu pejabat Jabatan Penerangan, 'Konvoi 1' menuju ke Dewan Masjid Perdana Wangsa Haji Mohammad, Kampung Setia bagi penyerahan Bendera Negara kepada 40 penerima yang terpilih di Mukim Zon 1 dan 2, Kampong Ayer meliputi Kampung Setia 'A' dan Setia 'B', Kampung Bolkiah A dan Bolkiah B dan Kampung Sungai Kebun. Penyampaian Bendera Negara yang disempurnakan oleh Dayang Mufidah binti Abdul Hakim, Ketua Rombongan Konvoi 1.

Turut hadir Penghulu Zon 1 dan 2, Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid dan Ketua-ketua kampung di bawah tadahan mukim berkenaan.

Destinasi seterusnya ialah Mukim Bokok, Daerah Temburong. Ketibaan 'Konvoi 1' dialu- alukan oleh Pemangku Penghulu, Awang Mohammad Afnan bin Haji Gafor.

Penyampaian Bendera Negara kepada 40 penerima yang terpilih disempurnakan Ketua Rombongan Konvoi 1 bertempat di kediaman Pemangku Penghulu Mukim berkenaan.

Sementara itu, 'Konvoi 2' Kempen Semarak Kebangsaan pula bertolak ke Mukim Keriam. Mengalu-alukan ketibaan konvoi di mukim berkenaan ialah Penghulu Mukim Keriam, Awang Haji Joharry bin Abdul Karim, dan seterusnya Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Rombongan Konvoi 2 menyampaikan Bendera Negara kepada 40 penerima yang terpilih di Mukim Keriam yang berlangsung di kediaman Penghulu Mukim Keriam dan turut dihadiri oleh ketua-ketua kampung di bawah tadahan mukim berkenaan.

Pada sebelah petang, rombongan bertolak ke Mukim Liang, mukim yang terpilih bagi Daerah Belait.

Ketibaan 'Konvoi 2' di kediaman Penghulu, dialu-alukan oleh Penghulu Mukim Liang, Awang Mohammad Yamin bin Haji Abdul Rani dan ketua-ketua kampung di mukim tersebut dan seterusnya Ketua Rombongan Konvoi 2 menyampaikan Bendera Negara ke 40 penerima yang terpilih di mukim tersebut.

Di samping menyemarakkan dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-40, Kempen Semarak Kebangsaan ini juga merupakan salah satu dari Strategi Komunikasi Bersemuka Jabatan Penerangan untuk mengukuhkan hubungan di antara kerajaan dan masyarakat dan bagi membina semangat solidariti patriotik serta kenegaraan yang tinggi berkonsepkan Melayu Islam Beraja (MIB).

SEMARAKHK2024.jpeg

SEMARAKHK2024 (2).jpeg 

SEMARAKHK2024 (3).jpeg 

SEMARAKHK2024 (4).jpeg 

SEMARAKHK2024 (5).jpeg 

SEMARAKHK2024 (6).jpeg 

SEMARAKHK2024 (7).jpeg 

SEMARAKHK2024 (8).jpeg 

SEMARAKHK2024 (9).jpeg 

SEMARAKHK2024 (10).jpeg

Attachments
Created at 26/02/2024 09:57 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 26/02/2024 10:03 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin