Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Memperkukuh semangat patriotisme pelajar

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 27 Januari. - Penghayatan dan pemahaman dalam kalangan generasi muda terhadap peranan serta tanggungjawab sebagai rakyat perlu dititikberatkan agar semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi tetap kukuh dalam diri masing-masing.

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik meneruskan lagi Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' bagi para pelajar Tahun 7 Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).

Taklimat yang berlangsung di Dewan Kuliah institut berkenaan dihadiri oleh seramai 60 penuntut Tahun 7. Juga menyertai taklimat, para penuntut Diploma Aliyah Qiraat institut berkenaan.

Turut hadir, Pengetua ITQSHHB, Pengiran Dr. Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dan para tenaga pengajar sekolah tersebut. Taklimat disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris.

Antara pengisian taklimat menyentuh mengenai raja kita iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, termasuk tatacara menaik kibar bendera negara iaitu hendaklah memastikan dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.

Selain mengetahui sejarah bendera dan lagu kebangsaan, setiap rakyat harus menghormati dan menghayati erti di sebalik seni kata lagu 'Allah Peliharakan Sultan' kerana ia mengandungi permohonan doa kepada Allah untuk raja dan negara, di samping mendidik para pelajar bagaimana ketertiban semasa menaikkan bendera dan menyanyikan lagu kebangsaan yang merupakan pendidikan awal yang boleh memberikan kesan positif. Para penuntut juga menyaksikan klip video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'.

Selain itu, para penuntut juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan menerima hadiah-hadiah sumbangan Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Pengetua Sekolah berkenaan.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. Ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.

TK  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 27012024.jpeg

TK  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 27012024 (2).jpeg

TK  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 27012024 (3).jpeg

TK  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 27012024 (4).jpeg

TK  INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH 27012024 (5).jpeg


Attachments
Created at 30/01/2024 09:38 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 30/01/2024 09:39 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin