Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Temburong tutup tirai

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Rabu 20 Disember. - Program Literasi Penerangan Kali Pertama bagi Belia Daerah Temburong anjuran Jabatan Penerangan, yang dikendalikan selama dua hari menutup tirainya dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta program.

Seramai 45 belia menyertai program tersebut terdiri daripada belia Permata Hijau, belia masjid dan belia-belia mewakili mukim dan kampung Daerah Temburong.

Majlis Penyampaian Sijil yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan itu disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir selaku Pemangku Penghulu Zon 1, Daerah Temburong dan Pemangku Penghulu Zon 2, Daerah Temburong, Awang Khairul Anwar bin Haji Juma'at.

Dalam temu bual bersama Dayang Nur Amal Nuha Nadzirah Syaqirah binti Abdullah Mohammad Akhbar, berusia 18 tahun yang mewakili belia Permata Hijau, beliau menzahirkan perasaan gembira kerana melalui Program Literasi tersebut, mereka dapat meraih pengetahuan dan pengalaman baharu yang belum diperoleh sebelum ini.

Daripada program berkenaan juga tambahnya, mereka juga dibawa melawat ke beberapa buah agensi dan mempelajari ilmu-ilmu baharu dan seterusnya segala maklumat dan ilmu yang diperoleh itu juga akan dikongsikan bersama dengan rakan-rakan dan belia-belia lain yang tidak berpeluang menyertai program berkenaan.

Beliau seterusnya menyeru para belia-belia luar untuk tidak melepaskan peluang untuk mengikuti program seumpamanya ini jika ia dibukakan lagi untuk penyertaan kerana para peserta akan memperoleh banyak manfaat yang sangat bernilai terutamanya bagi kerjaya pada masa akan datang.

Sementara itu, bagi Awang Azri bin Tahir selaku Pengerusi Belia Permata Hijau, beliau melihat bahawa belia-belia Daerah Temburong kurang pendedahan, justeru melalui Program Literasi Penerangan ini, para belia memperoleh banyak manfaat, kebaikan dan pengetahuan.

“Saya ingin mereka keluar daripada kelompok zon selesa, jangan berdiri di satu tempat sahaja dan saya ingin melihat mereka selaras dengan belia-belia di daerah lain," ujarnya.

Menurutnya lagi, ini merupakan kali pertama pada tahun ini mereka menyertai program seumpamanya di mana pada mereka selaku belia Permata Hijau juga sering melaksanakan aktiviti-aktiviti mengikut kluster antaranya aktiviti kerohanian, keagamaan, kemasyarakatan,  pendidikan dan keusahawanan.

Terdahulu pada hari terakhir program tersebut, para peserta berpeluang melawat ke Galeri Pusat Sejarah Brunei dan mendengar taklimat bertajuk 'Mengekalkan Identiti Kebruneian Dalam Bermasyarakat dan Bernegara' yang disampaikan oleh Pengetua Pusat Sejarah Brunei, Awang Dr. Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong yang antara lain menjelaskan mengenai tujuan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai konsep negara untuk terus memupuk, memelihara dan mengekalkan identiti bangsa, pegangan berugama dan juga pemerintahan beraja.

Taklimat seterusnya bertajuk 'DARe Business Bootcamp Programme' disampaikan oleh Pegawai Eksekutif DARe, Awang Muhammad Syu'aib bin Ahmad Rafie yang memberi pendedahan kepada para peserta bagi meningkatkan lagi pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Taklimat terakhir mengenai 'Kepentingan Penjagaan Kesihatan Mental' menekankan mengenai kekuatan spiritual individu, Kitab Suci Al-Quran, sembahyang, berzikir dan doa adalah sebagai salah satu strategi untuk menangani stres dan masalah kesihatan mental yang disampaikan oleh Psiklogis Klinikal selaku Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan.​

Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan Whole of Nation dan Whole of Government yang antara lain dihasratkan untuk melahirkan para belia berwawasan, mempunyai jati diri yang kukuh serta memiliki nilai luhur cintakan agama, bangsa dan negara yang tinggi serta memupuk rasa tanggungjawab ke arah memastikan Wawasan Brunei 2035 tercapai dengan jayanya.

PROGRA~1.JPE

PROGRA~1.JPG

PROGRA~2.JPE

Attachments
Created at 23/01/2024 10:48 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 29/01/2024 10:01 AM by Mohammad Bin Hj Kassim