Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Sivik NBD tutup tirai

Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Disember. - Program Sivik Negara Brunei Darussalam Kali Pertama bagi Tahun 2023/2024 menutup tirainya petang tadi dengan Majlis Penyampaian Sijil kepada 39 peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

Juga hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai-pegawai Kanan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan dan Pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri.

Majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Awang Muhammad Faturrahman bin Awang Embran.

Ketua Peserta Program Sivik, Awang Muhamad Syahmi bin Muhammad Yussof dalam ucapannya menyatakan bahawa kursus selama lima hari memberi kefahaman kepada mereka mengenai kepentingan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Mereka juga berpeluang menimba pengetahuan melalui taklimat-taklimat, aktiviti-aktiviti dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan.

Semasa kursus tersebut, para peserta dibawa membuat lawatan ke Bangunan Lapau, Jabatan Adat Istiadat Negara, Kem Latihan Kekal Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) dan ke Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Antara tujuan Program Sivik adalah untuk memastikan lepasan ijazah dan pegawai-pegawai baru berkhidmat akan dapat memahami dan sentiasa peka dengan maklumat terkini termasuklah mengenai hal ehwal negara dan kerajaan di samping menjadi pemangkin ke arah cendekiawan yang dinamik, berkualiti, inovatif dan mampan.

Program Sivik dihasrat menjadi salah satu platform bagi mempersiapkan para peserta  mengharungi pelbagai cabaran masa depan dan mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari.

Pelita Brunei menemu bual dua peserta program tersebut yang memberikan pandangan mengenai pengalaman dan dapatan mereka daripada menyertai program berkenaan.

Dayang Hani' Nadzratun Na'em binti Roslan, berumur 23 tahun, graduan lepasan Bachelor of Engineering in Petroleum Engineering dari University of New South Wales, Sydney, Australia menjelaskan, "Daripada program ini, saya telah memperoleh banyak pelajaran yang belum dan sudah dipelajari seperti Melayu Islam Beraja dan terasul.

Dengan program ini juga, saya boleh berjumpa dan bertukar buah fikiran bersama lepasan ijazah dan pegawai-pegawai yang sedang berkhidmat di kerajaan. Program ini sangat berguna bagi lepasan ijazah yang baharu".

Seorang lagi lepasan graduan semasa ditemui, Awangku Danieal bin Pengiran Haslini berkata, "Daripada program ini, saya telah memperoleh ilmu tambahan daripada lawatan dan aktiviti yang diadakan dalam aspek integriti, moral, etika, agama kerjasama dan yang penting sekali kepimpinan.

Semua aspek yang dipelajari daripada program ini sangat berguna untuk masa depan negara kami dan juga untuk mencapaikan Wawasan Brunei 2035".

Program Sivik NBD tutup tirai (1).jpg

Program Sivik NBD tutup tirai (2).jpg

Program Sivik NBD tutup tirai (3).jpg

Program Sivik NBD tutup tirai (4).jpg

Program Sivik NBD tutup tirai (5).jpg


Attachments
Created at 22/01/2024 12:35 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 24/01/2024 12:06 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin