Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Sivik NBD : Wadah mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Ahad, 10 Disember. – Jabatan Penerangan selaku jabatan yang menjadi penghubung antara pihak kerajaan dan rakyat serta penduduk amnya, tidak akan henti-henti meneliti, memperkenalkan dan melaksanakan program-program yang relevan selaras dengan kehendak negara dari semasa ke semasa.

Sehubungan dengan itu, seramai 39 orang peserta menyertai Program Sivik Negara Brunei Darussalam kali pertama bagi Tahun 2023/2024 anjuran Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik.

Program lima hari tersebut bermula hari ini dengan majlis pembukaan di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan, Jabatan Penerangan hingga 14 Disember 2023.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

Dalam ucapannya, tetamu kehormat menjelaskan perancangan jabatan dengan kerjasama pelbagai pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan adalah untuk sama-sama menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18 pada bulan Ogos tahun ini di mana baginda bertitah bahawa 'Belia dan Negara Berpisah Tiada'.

Program ini juga jelas Dayang Siti Bismi Nuruliman antara lain dihasrat akan dapat menjadi salah satu wadah atau landasan ke arah melengkapkan para peserta khususnya lepasan ijazah dan pegawai-pegawai yang baru berkhidmat untuk meningkatkan daya saing, mampu menghadapi pelbagai cabaran dan dapat mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari terutamanya dalam zaman digital ini.

​''Sepertimana jua para belia negara, para peserta sekalian adalah merupakan generasi penyambung jentera pentadbiran kerajaan dan generasi yang akan merealisasikan Wawasan Brunei 2035,'' tekan Pemangku Pengarah Penerangan.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini; Pegawai-pegawai Jabatan Penerangan dan kerajaan yang berkenaan serta ibu bapa dan penjaga para peserta.

Program tersebut antara lain dihasratkan dapat menjadi salah satu wadah atau landasan ke arah melengkapkan para peserta khususnya lepasan ijazah dan pegawai-pegawai yang baharu berkhidmat untuk meningkatkan daya saing, mampu menghadapi pelbagai cabaran dan dapat mempersiapkan diri sebagai generasi berwawasan, berkualiti, memiliki kemahiran yang tinggi serta mampu berdikari terutamanya dalam zaman digital ini.

Program Sivik diperkenalkan sejak tahun 1976 dengan menyasarkan pelbagai kelompok sasaran yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Jabatan Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.​

Jabatan Penerangan berharap bahawa program singkat yang diadakan selama lima hari itu akan dapat mengukuhkan lagi jati diri kebruneian, menanamkan semangat bersandarkan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), memupuk 'mindset' dan mentaliti yang kental dan ingin terus maju, dan seterusnya memperkayakan diri dengan ilmu serta pengalaman yang akan diperolehi.

PROGRAM SIVIK HARI PERTAMA (1).jpeg

PROGRAM SIVIK HARI PERTAMA (2).jpeg

PROGRAM SIVIK HARI PERTAMA (3).jpeg

PROGRAM SIVIK HARI PERTAMA (4).jpeg

Attachments
Created at 22/01/2024 11:57 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 24/01/2024 12:08 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin