Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Tingkatkan hubungan dua hala melalui Program Sua Muka

​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hamzah Mohidin

MUKIM SENGKURONG, Selasa, 5 Disember. - Program Sua Muka yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dihasrat sebagai usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.


Sehubungan itu, Program Sua Muka bagi Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Mukim Sengkurong berlangsung pagi tadi, bertempat di Pejabat Penghulu dan Ketua-ketua Kampung Mukim Sengkurong, di sini.

Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Ketua Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya dan disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk-penduduk kampung berkenaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Pertanian, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.

Ketua rombongan dalam mukadimah beliau telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.​

Program Sua Muka ini jelas beliau adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Awang Haji Bujang bin Haji Abdul Ghani dalam ucapan balas menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan antaranya tatacara permohonan tapak pertanian dan juga beberapa isu yang perlu diketahui oleh penduduk kampung.

Sesi dialog bersama penduduk-penduduk kampung jelas beliau, dapat memberi peluang kepada penduduk-penduduk kampung untuk bertukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam.​

Adalah diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa Program Sua Muka diakhiri dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung yang antara lain berkaitan dengan kesejahteraan, prasarana dan kemudahan awam.

SUA MUKA BAGI KPG LUGU DAN KATIMAHAR.jpeg

SUA MUKA BAGI KPG LUGU DAN KATIMAHAR (3).jpeg

Attachments
Created at 20/01/2024 09:57 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 24/01/2024 12:09 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin