Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong bersempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-71 tahun.

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Khalid Doughty

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Mei. - Jabatan Penerangan, hari ini, mengadakan Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong bersempena sambutan ulang tahun penubuhannya yang ke-71 tahun.

Majlis keagamaan berkenaan khusus bagi ayahanda dan bonda serta anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.

Hadir bersama rombongan pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan ialah Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Ajman bin Haji Meludin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan bacaan Surah Yaa Siin diikuti dengan bacaan Tahlil dan Doa Tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid di Masjid Ash-Shaliheen, Awang Haji Mohammad Izzat bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Jabatan Penerangan dalam tempoh sepanjang 71 tahun ini, secara berterusan melaksanakan strategi kerja yang antaranya meliputi komunikasi bersemuka bersama peringkat akar umbi dan orang ramai; penerapan semangat kenegaraan / patriotisme; penerbitan bahan-bahan berita dan hal ehwal semasa melalui akhbar rasmi kerajaan, Pelita Brunei dan buku-buku terbitan: program-program dan aktiviti-aktiviti perhubungan awam, perkhidmatan media dan juga sokongan.

Pada usianya sudah mencecah 71 tahun, Jabatan Penerangan juga terus memainkan peranan pentingnya iaitu khususnya dalam membarigakan maklumat, dasar, program dan aktiviti kerajaan yang sahih dan sebagai platform perantaraan di antara rakyat - kerajaan - rakyat.

Selain itu, Jabatan Penerangan juga tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan revolusi industri ke-4 dalam usahanya untuk membarigakan dasar, program dan aktiviti kerajaan dengan memperkenalkan dan menggunakan media sosial terdiri daripada seperti Facebook, Instagram dan Twitter di samping aplikasi mudah alih telefon bimbit, InfoDept.BN dan We ASEAN.


Kubah Makam DiRaja01.jpg

Kubah Makam DiRaja02.jpg

Kubah Makam DiRaja03.jpg

Attachments
Created at 13/05/2023 09:14 PM by Info Admin 1
Last modified at 13/05/2023 09:14 PM by Info Admin 1