Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Timba ilmu, fahami peranan Jabatan Penerangan

Oleh : Marlinawaty Hussin

Foto : Hernie Suliana Haji Othman 

BERAKAS, Selasa, 4 April. – Bagi memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan dengan Perhubungan Awam (Public Relation) yang dipelajari dalam modul MK5336 Komunikasi Pemasaran dan Penjenamaan (Marketing Communication and Branding), seramai 40 pelajar jurusan Diploma dalam Pengajian Perniagaan dan Diploma dalam Pengajian Perniagaan (Pemasaran) bagi Pengambilan Ke-10 Sekolah Perdagangan, Politeknik Brunei, mengadakan lawatan sambil belajar ke Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Rombongan lawatan yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan, Dayang Nur Syahadah binti Haji Ismail itu dialu-alukan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerangan.

Dalam lawatan tersebut, para pelajar diberikan taklimat ringkas mengenai Jabatan Penerangan yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Awang Mohamad Azmi bin Awang Damit.

Taklimat berkenaan antara lain menyentuh mengenai visi dan misi Jabatan Penerangan dalam 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat', dalam pembarigaan dasar dan aktiviti kerajaan secara efektif melalui pendekatan Whole of Government, ke arah mempromosi dan menjaga nama baik Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Turut dikongsikan mengenai strategi pemasaran produk dan perkhidmatan Jabatan Penerangan melalui poster, infografik, mini pameran dan program-program Jabatan Penerangan; media sosial, laman sesawang dan Aplikasi InfoDeptBN, yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Unit Pemasaran, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Sebelum mengakhiri lawatan, para pelajar berpeluang melawat Galeri Lentera Makmur yang telah dirasmikan pada 10 April 2021 dan merupakan nilai tambah kepada platform penyebaran maklumat yang sedia ada.

Galeri berkenaan memfokuskan kepada empat aspek iaitu Raja Kita, Strategik Bahan-Bahan Terbitan, Strategik Komunikasi Bersemuka dan Strategik Perhubungan dan Media Baharu.

Sebelum itu, rombongan dibawa melawat ke Seksyen Penerbitan dan Seni Reka untuk melihat lebih dekat bahan-bahan terbitan Jabatan Penerangan.

Salah seorang pelajar, Nurul Amirah Nadiah binti Haji Ibrahim berkata kepada Pelita Brunei, objektif lawatan tersebut adalah untuk menambah ilmu pengetahuan mereka mengenai pemasaran dan perkhidmatan yang dikendalikan Jabatan Penerangan, yang dapat dilaksanakan bagi Projek Tahun Akhir mereka.

"Banyak perkara yang kami pelajari dari lawatan ini terutama menerusi taklimat yang disampaikan oleh Pegawai-pegawai Penerangan, di mana mereka menjelaskan mengenai cara pemasaran yang telah dijalankan oleh jabatan tersebut termasuk melalui pendekatan dengan orang ramai," katanya.

Selain itu, beliau menambah, mereka juga merancang untuk mengadakan lawatan ke jabatan-jabatan kerajaan yang lain seperti Radio Televisyen Brunei dan Pusat Promosi Kesihatan bagi mempelajari cara pemasaran pusat berkenaan dalam usaha meningkatkan kesedaran kesihatan.

Mengulas mengenai Projek Tahun Akhir mereka, beliau berkata, selain membuat kajian mengenai pemasaran, mereka juga menjalankan kerjasama dengan Majlis-majlis Perundingan Kampung bagi membantu memasarkan produk-produk yang dihasilkan kampung tersebut.

INFODEPT08_03.JPG

INFODEPT08_05.JPG

INFODEPT08_06.JPG

INFODEPT08_08.JPG

Attachments
Created at 13/04/2023 01:23 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 13/04/2023 01:23 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim