Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Suntik semangat patriotisme, semai sifat perpaduan

Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

SERIA, Khamis, 2 Mac. - Dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN ke Chung Ching Middle School, Seria, di sini.

Taklimat Kenali ASEAN berkenaan dihadiri oleh seramai 180 pelajar dari Tahun 7, 8 dan 9, yang mana ia disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

Sejurus selepas penyampaian taklimat, Kuiz ASEAN diadakan untuk mengetahui sejauh mana pelajar-pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranannya dalam membangun negara-negara anggotanya.

Turut dipromosikan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video. Aplikasi ini merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Pada masa yang sama menanamkan kesedaran di kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).

Ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN iaitu 'ASEAN Communication Master Plan II' (ACMP II) yang merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Wawasan ASEAN 2025.

Juga hadir, Pengetua Sekolah Chung Ching Middle School, Sim Jeng Siang; serta Guru Kanan dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

download (1).jpg

download (2).jpg

download (3).jpg

Attachments
Created at 09/03/2023 08:44 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 09/03/2023 08:44 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim