Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Mendekati tapak perusahaan pertanian, ternakan


Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 15 Disember. - Para peserta Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) bagi Kampung Batu Apoi, Mukim Batu Apoi, Daerah Temburong anjuran Jabatan Penerangan melalui Cawangan Penerangan Daerah Temburong berpeluang mendengarkan perkongsian mengenai keusahawanan dan melihat lebih dekat lagi beberapa tapak perusahaan pertanian dan ternakan.

 

Rombongan peserta PMB seramai 35 orang itu terdiri daripada belia-belia Kampung Batu Apoi, mereka yang sudah bersara dari perkhidmatan dan sedang mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan.

 

Rombongan turut disertai oleh Pemangku Ketua Kampung Batu Apoi, Daerah Temburong, Awang Norasmadi bin Karim.

 

Aktiviti pada sebelah petang itu dimulakan dengan lawatan ke Perusahaan Rz Prisma yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Kilanas, Pusat Penyelidikan Pertanian Brunei.

 

Ladang Perusahaan RZ Prisma, yang merupakan syarikat milik anak tempatan kepunyaan Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail selaku Pengurus Am, mengusahakan tanaman sayur-sayuran menggunakan Sistem Rumah Terlindung (Green House), Hidroponik dan Sistem Bertingkat (Vertical Farming).

 

Sayur-sayuran yang dihasilkan oleh perusahaan ini dipasarkan di lebih 20 pasar raya di negara ini antaranya Supa Save, Hua Ho dan Soon Lee.

 

Para peserta program kemudiannya dibawa melawat ke ladang milik Syarikat Hua Ho Agricultural Farm yang terletak di Kampung Junjongan, yang dimiliki dan diurus oleh Awang Lau How Teck.

 

Ladang perusahaan berkenaan mengusahakan tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran secara bersepadu termasuk mengusahakan ternakan ayam pedaging dan telur ayam.

 

Pemangku Ketua Kampung Batu Apoi, Awang Norasmadi semasa ditemui memuji perlaksanaan program berkenaan yang banyak memberikan pendedahan kepada para peserta program khususnya dalam menimba pengetahuan bagi menaik taraf perekonomian melalui aktiviti keusahawanan.

 

Menurutnya, para peserta yang sudah mengusahakan tanaman kecil-kecilan di tempat mereka berpeluang mempelajari dan mengenali teknik-teknik yang sesuai untuk dilaksanakan nanti manakala para peserta belia boleh menceburkan diri dalam bidang pertanian sebagai salah satu alternatif pekerjaan.

 

Program seumpama ini tambahnya diharap akan dapat diteruskan lagi di masa-masa akan datang yang setentunya dihasrat untuk memberi masyarakat yang bermaklumat dan berilmu dalam sama-sama menanai hasrat kerajaan mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

Antara tujuan program berkenaan ialah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan membarigakan perkembangan serta usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat melalui taklimat-taklimat serta lawatan-lawatan, dengan harapan dapat mengukuhkan jati diri dan menyuntik semangat dalam terus memberikan kerjasama dalam mendukung aspirasi negara. 


01.jpeg


02.jpeg


03.jpeg



 


Attachments
Created at 20/12/2022 04:22 PM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin
Last modified at 20/12/2022 04:22 PM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin