Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

KES PURATA HARIAN COVID-19

​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman



BERAKAS, Isnin, 14 November. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam masa satu minggu kebelakangan ini, menunjukkan sedikit peningkatan dengan kadar purata harian kes pada minggu lepas ialah sebanyak 611 kes sehari, berbanding dengan 554 kes sehari pada minggu sebelumnya. ''Sebanyak 48,491 keputusan Ujian Pantas Antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu dengan 8.7 peratus daripadanya adalah keputusan ART yang positif,'' jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di NBD yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini. Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, pada hari ini, tidak ada kes dalam Kategori 5, iaitu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) manakala satu kes sedang berada dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi. Sehingga kelmarin, 13 November 2022 tambah Yang Berhormat, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di NBD kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.7 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 11.1 peratus juga telah mendapatkan dos keempat. ''Pada hari ini, sebanyak 612 kes baharu telah dilaporkan, iaitu 608 kes hasil ART dan empat kes adalah hasil daripada sebanyak 143 Ujian Makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh masa 24 jam yang lalu,'' terang Yang Berhormat lagi. Sementara itu Yang Berhormat menjelaskan, walaupun trend kes influenza dan jangkitan serupa Influenza (Influenza-like Ilness-ILI) pada minggu lalu telah menurun namun kadar jangkitan masih di atas paras normal. Orang ramai tegas Yang Berhormat, adalah diingatkan untuk terus berwaspada dan mengambil pelbagai langkah pencegahan seperti mengasingkan diri jika mengalami pelbagai tanda jangkitan dan mengelakkan daripada tempat-tempat yang penuh sesak. ''Segera berjumpa doktor jika tanda-tanda jangkitan berterusan atau semakin teruk. Dapatkan suntikan influenza, khususnya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan. ''Semoga NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua. Amin Amin Ya Rabbal Alamin,'' ujar Yang Berhormat mengakhiri kenyataannya.




Attachments
Created at 20/12/2022 10:35 AM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin
Last modified at 20/12/2022 03:48 PM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin