Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pemenang Pertandingan Video Pendek RISE ASEAN terima hadiah

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hamzah Mohidin 

BERAKAS, Sabtu, 12 November. - Muhammad Kasyfillah Thaqif@Muhammad Zharfan bin Ahmad diumumkan pemenang tempat pertama pada Pertandingan Video Pendek RISE ASEAN (Right Information Saves and Empowers ASEAN) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD1,500. 

Tempat kedua diraih oleh Awang Abdul Aziz bin Abdullah, menerima USD1,000 manakala tempat ketiga disandang oleh Awangku Ahmad Alfathullah bin Pengiran Haji Sellahuddin, menerima hadiah wang tunai USD500. Kesemua pemenang juga menerima hadiah plak, kain tenunan dan sijil. 

Majlis Penyampaian Hadiah bagi pertandingan tersebut berlangsung hari ini di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan dan disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya, selaku wakil Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan (Sub-Committee on Information - SCI) Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan (COCI), yang juga menyampaikan cenderamata kepada hakim-hakim pertandingan. 

Video pendek bertemakan 'RISE ASEAN : Countering the Infodemik' memaparkan bahaya berita dan maklumat palsu mengenai kesihatan dan keselamatan awam dan kepentingan maklumat yang betul dalam tindak balas ASEAN terhadap pandemik COVID-19, bagaimana ia membantu menyelamatkan nyawa dan memperkasakan penduduk di rantau ini untuk bangkit menentang kesan COVID-19. 

Terdahulu, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan Komiti ASEAN mengenai Kebudayaan dan Penerangan, dalam ucapan alu-aluannya berkata, Pertandingan RISE ASEAN merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN COCI di mana Filipina adalah negara penyelaras projek. 

Pertandingan ini dikendalikan oleh setiap negara anggota ASEAN dalam usaha melibatkan golongan belia iaitu khususnya 'video creator' dan 'content creator' yang berusia antara 18-25 tahun untuk menghasilkan video pendek berdurasi 1 minit yang memperlihatkan kesan negatif maklumat palsu dan cara mengetahui maklumat yang betul dan boleh melindungi dan memperkasa masyarakat,'' jelasnya. 

Dalam usaha negara melangkah ke era Revolusi Perindustrian Ke-4 dan pembangunan teknologi digital yang pesat jelasnya, tidak dinafikan, negara dan masyarakat menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam penyebaran maklumat. 

Dengan kecanggihan dan akses ke media sosial yang begitu tinggi dan mudah, penyebaran maklumat palsu ini tambahnya semakin meningkat semasa terjadinya pandemik COVID-19, di mana pelbagai isu kesihatan dan perubatan yang tidak diketahui kesahihannya atau lebih dikenali sebagai 'infodemik' telah tersebar dalam kalangan masyarakat umum. 

Justeru, ujarnya, dalam membendung dan mencegah penyebaran maklumat palsu ini, setiap lapisan masyarakat terutamanya golongan muda harus dipersiapkan dengan pengetahuan dan kesedaran dalam memilih dan menilai maklumat yang diterima. 

Muhammad Kasyfillah Thaqif@Muhammad Zharfan semasa ditemu bual tidak menduga berjaya meraih tempat pertama pada pertandingan ini, di mana ia merupakan penyertaan yang pertama kali disertainya. 

Menurutnya, idea video dihasil dengan perbincangan dan gabungan idea bersama adik-beradik beliau dengan mencampurkan genre komedi. 

Bakal menamatkan pengajiannya dalam jurusan Kejuruteraan Elektrikal dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), belia berusia 20 tahun ini juga mengongsikan bahawa beliau juga belajar serba sedikit tentang pembuatan video dan 'content' daripada rakan-rakannya dan apabila ada peluang seperti pertandingan ini, beliau tidak mensia-siakannya hingga terpilih sebagai pemenang tempat pertama. 

Turut hadir pada majlis tersebut, pegawai-pegawai dari Jabatan Penerangan, Sekretariat ASEAN-COCI, panel hakim serta ibu bapa peserta.

rise 3.jpg

rise 5.jpg

rise 4.jpg

rise 2.jpg

rise 1.jpg

Attachments
Created at 16/11/2022 09:50 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 16/11/2022 09:50 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim