Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Bariga maklumat, perkembangan serta kemajuan mukim

Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto: Hamzah Mohidin 

MUKIM KILANAS, Selasa, 8 November. – Pelbagai isu berkaitan prasarana dan kemudahan awam antara yang dibangkitkan oleh para penduduk kampung semasa sesi dialog Program Sua Muka (Personal Contact) bagi Kampung Tanjung Bunut Mukim Kilanas, bertempat di Masjid Ar-Rahman Kampung Tanjung Bunut, Mukim Kilanas.

Program kelolaan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kemasyarakatan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik berkenaan adalah sebagai usahanya dalam menyampaikan maklumat mengenai pelbagai isu semasa dan dasar kerajaan serta dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pelbagai agensi kerajaan yang berkenaan. 

Selain itu, ia juga dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan pihak kerajaan serta membarigakan maklumat dan program serta perkembangan serta kemajuan mukim. 

Hadir mengetuai rombongan pada program berkenaan, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini. 

Acara program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut, Awang Saufi bin Haji Suhaini. 

Dalam ucapannya, Pemangku Pengarah Penerangan, antara lain mengongsikan mengenai penyebaran maklumat palsu pada era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti Whatsapp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai berasa takut dan cemas. 

Menurut beliau lagi, apa yang lebih membimbangkan jika maklumat palsu dan berunsur fitnah berkenaan diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber yang sahih dan kemudiannya menjadi tular hingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan juga keselamatan negara. 

Ia boleh membawa kepada tindakan di bawah perundangan: Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34, iaitu barang siapa sama ada melalui lisan atau tulisan atau apa cara sekalipun telah menyebarkan maklumat palsu atau membuat kenyataan palsu yang boleh menggemparkan atau menimbulkan keadaan cemas kepada pihak awam boleh didakwa dan dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda BND3,000. 

Beliau berkata lagi, sesiapa sahaja melakukan atau mencuba untuk melakukan atau menyediakan atau bersubahat untuk menjalankan hasutan; menggunakan perkataan yang merupakan hasutan; mencetak; menyiarkan; menjual; menawarkan untuk menjual; mengedarkan atau mencetak semula sebarang hasutan; serta membawa masuk sebarang warta yang berbentuk hasutan kecuali dia tidak mempunyai sangkaan bahawa ia berbentuk hasutan maka mereka yang melakukan pelbagai kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga duatahun dan denda BND5,000 seperti yang dinyatakan dalam Akta serta Penggal 24, Akta Hasutan Seksyen 4 (1). 

Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Tanjung Bunut, Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Jumat, dalam ucapannya menyambut baik Program Sua Muka yang diusahakan oleh Jabatan Penerangan kerana program berkenaan sangat berharga dan bermanfaat kepada para penduduk Kampung Tanjong Bunut di samping sebagai platform bertukar-tukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam. 

Turut hadir pada sesi dialog berkenaan ialah wakil agensi kerajaan, iaitu para pegawai dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

PC TANJONG BUNUT 1.jpg

PC TANJONG BUNUT 2.jpg

PC TANJONG BUNUT 3.jpg

PC TANJONG BUNUT 4.jpg

PC TANJONG BUNUT 5.jpg

Attachments
Created at 12/11/2022 04:20 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 12/11/2022 04:20 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim