Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PENTARAMA Jabatan Penerangan menutup tirai di Daerah Belait

Oleh: Noraisah Haji Muhammed / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BELAIT, Sabtu, 23 Julai. - PENTARAMA atau pentas, tari dan drama adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas sejak tahun 1988.

 

Melalui program berbentuk 'infotainment' ini, Jabatan Penerangan memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat secara tidak langsung kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang pelbagai nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar mengenai hal ehwal semasa negara.

 

Sehubungan itu, sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-76 Tahun 2022, persembahan yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik melabuhkan tirainya dengan persembahan PENTARAMA yang terakhir di Daerah Belait, bertempat di Pentas Perayaan, Gerai Tudung Saji.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada majlis tersebut, Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohammad Yassin bin Haji Ahmed.

 

Juga hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

 

Tahun ini, PENTARAMA menampilkan persembahan sketsa drama bertajuk 'Malam Aneka Ragam' dari Kumpulan Putra Seni yang antara lain menyampaikan mesej kepada orang ramai untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan walaupun sudah berada di Fasa Endemik.

 

Segmen persembahan PENTARAMA juga dimeriahkan dengan nyanyian solo daripada artis-artis tanah air seperti Jazmeen, Krunn Muhamad, Mat Fadhil, Pengiran Shahminan, Yaniey Junaini dan Fatin Muzini serta Kumpulan Putra Seni.

 

Manakala, para penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh daripada Kumpulan BruHaha.

 

Di samping itu, para penonton juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan pemenang yang berjaya menjawab soalan menerima hadiah yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

 

Persembahan diakhiri dengan lagu penutup bertajuk 'Dirgahayu'.

 

Persembahan PENTARAMA yang terakhir malam tersebut merupakan kesinambungan daripada persembahan PENTARAMA yang diadakan di Daerah Brunei dan Muara pada 16 Julai 2022; Daerah Tutong pada 18 Julai 2022 dan Daerah Temburong yang pada 22 Julai 2022.

PENTARAMA Jabatan Penerangan menutup tirai di Daerah Belait(1).jpeg

PENTARAMA Jabatan Penerangan menutup tirai di Daerah Belait(3).jpeg

PENTARAMA Jabatan Penerangan menutup tirai di Daerah Belait(2).jpeg

Attachments
Created at 28/07/2022 11:47 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 28/07/2022 11:47 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim