Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Persembahan PENTARAMA salur mesej, perkongsian bersama

Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 

TUTONG, Isnin, 18 Julai. - Persembahan lawak jenaka bertajuk 'Norma Baharu' dalam persembahan PENTARAMA yang penuh dengan mesej dan perkongsian berkaitan situasi semasa, mencuit hati pengunjung yang hadir pada Pentas Perayaan, Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong, di sini.

 

Melalui sketsa tersebut, orang ramai diseru untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditentukan oleh pihak Kementerian Kesihatan, dalam sama-sama menjaga kesejahteraan semua, seperti memakai sungkup muka di kawasan sesak dan melengkapkan vaksinasi serta mengambil dos penggalak.

 

Persembahan PENTARAMA merupakan sebuah 'infotainment' iaitu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik dalam menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas, tari dan drama.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.

 

Persembahan pentas seumpamanya merupakan salah satu acara keraian sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di keempat-empat daerah.

 

Melalui kaedah ini, Jabatan Penerangan memberikan pendidikan dan maklumat secara tidak langsung kepada orang awam tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara kita.

 

Selain persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari BruHaha, PENTARAMA juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk 'Malam Aneka Ragam' oleh Kumpulan Putra Seni dan dimeriahkan dengan nyanyian solo daripada beberapa artis tempatan seperti Jazmeen, Dayat Ahim, Pengiran Shahminan, Yaniey Junaini dan Fatin Muzini.

 

Penonton yang berpeluang menyertai Kuiz PENTARAMA juga menerima hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat sebelum majlis berakhir.

 

PENTARAMA seterusnya akan diadakan pada Jumaat 22 Julai 2022 di Pentas Perayaan Kawasan Dermaga Pekan Bangar, Daerah Temburong dan terakhir pada 23 Julai 2022 di Pentas Perayaan Tudung Saji, Daerah Belait.

Persembahan PENTARAMA salur mesej, perkongsian bersama 1.JPGPersembahan PENTARAMA salur mesej, perkongsian bersama.JPG

Attachments
Created at 21/07/2022 02:31 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 21/07/2022 02:31 PM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim