Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

54 pain darah dikumpulkan sempena 70 Tahun Penubuhan Jabatan Penerangan

Oleh : Khartini Hamir / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 2 Jun. - Bagi memupuk dan menggalakkan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat dalam kalangan warga Jabatan Penerangan dan orang ramai serta untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat menderma darah terhadap tubuh badan dan kesihatan penderma, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Kempen Derma Darah sempena Memperingati Penubuhannya Ke-70, Tahun 2022, yang diadakan di Dewan Pengiran Setia Negara, Bangunan Asal Jabatan Penerangan.

 

Kempen yang bermula dari jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi tersebut mengumpulkan sebanyak 54 pain darah.

 

Melalui kempen seumpama ini juga secara tidak langsung mengajak warga Jabatan Penerangan dan orang ramai untuk mengamalkan menderma darah sebagai satu amalan sepanjang hayat.

 

Awang Md. Azrol bin Haji Yahya, 42 tahun, berasal dari Kampung Pengkalan Sibabau dalam temu bualnya bersama Pelita Brunei sempat menceritakan pengalaman beliau yang sudah lebih daripada 20 kali menderma darah.

 

Beliau berpendapat pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap optima serta mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital, di Negara Brunei Darussalam.

 

Justeru, jelasnya, menderma darah tidak semestinya hanya diperlukan sewaktu diadakan Kempen-kempen Derma Darah.

 

''Malah bagi menanamkan rasa tanggungjawab diri terhadap keperluan dan kepentingan menderma darah itu boleh sahaja dilakukan dan dilaksanakan secara sukarela dan pada bila-bila masa dengan berkunjung ke Pusat Pendermaan Darah, di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS),'' ujarnya.

 

Bagi Dayang Nor Zuriana binti Haji Azman / Malai, 36 tahun, warga Jabatan Penerangan pula menjelaskan, masyarakat perlu tahu akan kepentingan menderma darah, selain dapat menyelamatkan nyawa orang lain yang memerlukan bekalan darah, di mana dengan menderma darah juga dapat memenuhi stok bekalan darah yang rendah yang amat diperlukan yang ada di Pusat Pendermaan Darah ketika ini.

 

''Selain itu, dengan menderma darah juga dapat memberikan manfaat kesihatan kepada si penderma, antaranya dapat mengurangkan risiko serangan sakit jantung dan membakar kalori serta menjadikan si penderma berasa lebih sihat dan cergas,'' terangnya lagi.

 

Manakala bagi pasangan suami isteri, Dayang Dona Azfina binti Ibrahim, 38 tahun dan Awang Salleh bin Haji Osman, 40 tahun, menerangkan dengan adanya kesedaran untuk menderma darah ini dapat mendidik orang ramai tentang faedah menderma darah kepada yang memerlukannya, di samping untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah serta kepentingannya dalam menyelamatkan nyawa, terutamanya semasa kecemasan dan kemalangan.

 

Dayang Dona Azfina menambah, namun perlu diingat orang ramai yang ingin menderma darah perlulah mengetahui terlebih dahulu terma, syarat serta kriteria tertentu yang dikhususkan bagi membolehkan mereka layak untuk menderma darah.

 

Setiap individu yang berhasrat untuk menderma darah, terang suaminya pula, hendaklah mempunyai tidur dan rehat yang cukup dan disarankan untuk makan makanan yang berkhasiat sebelum menderma darah.

 

Bagi prosedur keselamatan, seperti biasa sebelum menderma darah, para penderma terlebih dahulu perlu dibuat pemeriksaan 'pre-screening', seperti bacaan tekanan darah (blood pressure) dan kandungan darah (hemoglobin) yang mencukupi.

 

Setelah pendermaan darah dijalankan, para penderma dinasihatkan untuk minum banyak air dan tidak boleh melakukan kerja berat dalam masa 24 jam.

 

Setiap individu yang berhasrat untuk menderma darah, hendaklah mempunyai tidur dan rehat yang cukup, bebas dari selesema, demam panas dan penyakit-penyakit lain, selain perlu memiliki berat badan sekurang-kurangnya 50 kilogram atau 110 paun dan berumur 18 tahun ke atas.

 

Para penderma juga adalah disaran untuk makan makanan yang berkhasiat sebelum menderma darah dan mengelakkan makan makanan yang berlemak serta elakkan daripada mengambil sebarang ubat-ubatan yang mengandungi aspirin, seperti panadol atau paracetamol dalam masa dua hari sebelum pendermaan Platelet.

 

Juga perlu diketahui bagi orang ramai yang ingin menjadi penderma darah ialah untuk mematuhi kriteria-kriteria tertentu sebelum menderma darah, antaranya tidak berisiko membawa penyakit berjangkit yang boleh memudaratkan penerima darah.

 

Antara penyakit-penyakit yang menyebabkan darahnya tidak sesuai untuk didermakan ialah memiliki Sindrom Penyakit Kurang Daya Tahanan (AIDS) atau Jangkitan HIV; Hepatitis; Sifilis; dan Malaria atau sebarang penyakit yang mungkin berisiko kepada pesakit yang menerima transfusi darah.

 

Untuk sebarang maklumat lanjut atau membuat tempahan bagi mengadakan Kempen Derma Darah, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah menerusi talian +673 2242424 sambungan 5745 atau 6001 atau 6002 atau e-mel ke 'bloodbank@moh.gov.bn' atau ikuti Pusat Pendermaan Darah, di Instagram dan Facebook, '@bloodbank_ripas'.

 

Kempen Derma Darah anjuran Jabatan Penerangan ini dikendalikan dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah Perkhidmatan Makmal, Hospital RIPAS, antara lain bertujuan untuk membantu menambah tabung darah bagi keperluan sesiapa sahaja yang memerlukannya, di samping itu juga bagi membantu Pusat Pendermaan Darah memenuhi misinya, bagi memastikan ketersediaan bekalan darah yang selamat dan boleh dipercayai.

 

Kempen Derma Darah ini merupakan salah satu program yang dikelolakan sempena Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan, selain Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil, di Kubah Makam Diraja; Forum; Kuiz Hari Penerangan dan Rencana Khas dalam beberapa siri keluaran Akhbar Pelita Brunei.


54 pain darah dikumpulkan sempena 70 Tahun Penubuhan Jabatan Penerangan(2).jpeg

 54 pain darah dikumpulkan sempena 70 Tahun Penubuhan Jabatan Penerangan(1).jpeg

Attachments
Created at 04/06/2022 11:55 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 04/06/2022 11:55 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim