Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Bertanggungjawab Lakukan Art Dengan Betul

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani 

BERAKAS, Sabtu, 23 April. - Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa bagi mereka yang mempunyai Kod Merah dibenarkan hadir bekerja, di mana mereka perlu membuat Ujian Pantas Antigen (ART) sebelum hadir dan masih mengamalkan SOP yang lain seperti memakai sungkup muka, kerap mencuci tangan dan sebagainya.  

''Perlu diingat juga, Kod Merah itu mengingatkan mereka adalah kontak terdekat, jadi, beberapa hari itu, risiko memang ada. Tetapi dengan adanya ART ini ia akan memudahkan untuk mengenal pasti siapa yang positif,'' ujar Yang Berhormat pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam (NBD), yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini.  

Menurut Yang Berhormat, seseorang itu perlu bertanggungjawab untuk memastikan ia melakukan ART dengan betul dan walaupun negatif, ia dibenarkan untuk hadir bekerja.  

Yang Berhormat menambah, perlu diingatkan juga, jika seseorang itu mempunyai simptom, seperti demam, selesema, batuk, walaupun keputusan ART negatif, ia boleh ada flu lain dan mereka ini tidak dibenarkan hadir bekerja.  

Jelas Yang Berhormat lagi, jika mempunyai simptom, ia perlu duduk di rumah, walaupun keputusan ART negatif. Tetapi jika tidak mempunyai simptom dan ART negatif, ia dibenarkan hadir bekerja.  

''Kitani membalikkan tanggungjawab itu kepada seseorang itu. Sama-sama kitani bertanggungjawab untuk memastikan penularan ini dapat dikawal dengan baik,'' ujar Yang Berhormat.  

Sementara itu, mengenai dengan perjalanan masuk ke NBD, Yang Berhormat menjelaskan, sejak negara memulakan greenlist atau membuka perjalanan ke NBD, setakat ini seramai 2,400 orang membuat perjalanan masuk ke negara ini.  

Dalam jumlah itu, tambah Yang Berhormat, mereka membuat  PCR dan ART untuk memastikan, sama ada selaras atau tidak dan yang paling penting adalah untuk memastikan orang yang positif tidak terlepas 

''Alhamdulillah, ia sama, jadi kitani sangat yakin ART dengan PCR yang dijalankan tidak ada perbezaan,'' ujar Yang Berhormat. 

covid news 2642022.JPG

Attachments
Created at 26/04/2022 08:22 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 26/04/2022 08:22 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim