Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Program Sua Muka barigakan dasar kerajaan, isu semasa

Oleh : Pg. Syiaruddin Pg. Dauddin / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 5 November. - Dalam usaha untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik pagi tadi mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Zon 4, Mukim Zon 2, Kampong Ayer, bertempat di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), Kampung Bolkiah, di sini.

Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini disertai oleh beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang antara lain menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam membarigakan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.

"Sebagai salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka, ia dihasratkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.

"Program Sua Muka sejak tahun 2022 hingga hari ini telah dikendalikan bagi 60 buah kampung seluruh negara," jelas beliau lagi.

Beliau kemudiannya menambah bahawa melalui program berkenaan juga dikongsikan pesanan awam mengenai penyebaran maklumat palsu (fake news), impaknya dan juga tatacara untuk membuat laporan mengenainya.

Turut disampaikan ialah maklumat dan pembarigaan mengenai TID Rollover Fasa Kedua dan Program Penggantian Mandatori kepada Sistem Meter Pintar (Unified Smart Metering System - USMS) dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Tenaga dan USMS.

Pemangku Ketua Kampung Zon 4, Kampong Ayer, Awang Shamsuddin bin Haji Maidin, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang dan kesempatan bagi program yang memberikan manfaat kepada penduduk kampung masing-masing melalui penyampaian maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan yang perlu diketahui oleh penduduk kampung dan sekali gus membantu mengukuhkan hubungan erat di antara pihak kerajaan dan penduduk kampung.

Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan keselamatan, kebajikan, alam sekitar, ekonomi, prasarana dan kemudahan awam di kampung-kampung berkenaan.

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (1).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (2).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (3).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (4).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (5).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (6).jpeg

PROGRAM SUA MUKA (PERSONAL CONTACT) BAGI KAMPUNG ZON 4 KAMPONG AYER, MUKIM ZON 2 KAMPONG AYER (7).jpeg


Attachments
Created at 11/11/2024 12:42 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 11/11/2024 12:44 PM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin