Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Haji Abdul Azim @ Haji Mu'az Haji Tujoh
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 19 September. - Dalam usaha untuk membarigakan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Zon I Kampong Ayer dan Kampung Zon II Kampong Ayer, Mukim Zon I Kampong Ayer, Daerah Brunei dan Muara bertempat di Dewan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, di sini.
Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Saadiatul Aqilah binti Haji Jaman dengan disertai oleh beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan yang antara lain menjelaskan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam membarigakan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan seperti Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Tambahnya, sebagai salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka, ia dihasratkan dapat mengeratkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Program Sua Muka sejak tahun 2022 hingga hari ini jelasnya, telah dikendalikan kepada 57 buah kampung seluruh negara.
Turut dikongsikan semasa program berkenaan ialah pesanan awam mengenai penyebaran maklumat palsu (fake news), impaknya dan juga tatacara untuk membuat laporan mengenainya.
Turut disampaikan ialah maklumat dan pembarigaan mengenai penggantian meter prabayar kepada sistem meter pintar (Unified Smart Metering System - USMS) dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Tenaga; Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya dan DST Network (DSTN) Sdn. Bhd.
Pemangku Ketua Kampung Zon I Kampong Ayer, Awang Haji Tarip bin Haji Asgar; dan Pemangku Ketua Kampung Zon II Kampong Ayer, Awang Haji Mayalin bin Haji Saat, mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas peluang dan kesempatan bagi program yang memberikan manfaat kepada penduduk kampung masing-masing melalui penyampaian maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung dan sekali gus membantu mengukuhkan hubungan erat di antara pihak kerajaan dan penduduk kampung.
Turut hadir ialah Pemangku Penghulu Mukim Zon I Kampong Ayer, Awang Raimi bin Awang Rashid.
Program Sua Muka turut diisikan dengan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan keselamatan, prasarana dan kemudahan awam di kampung-kampung berkenaan.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)