Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Haji Abdul Azim @ Haji Mu'az Haji Tujoh
BERAKAS, Rabu, 18 September. - Seramai 40 penduduk Mukim Bokok, Daerah Temburong menyertai Program Masyarakat Bermaklumat (PMB) yang akan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
PMB merupakan antara usaha Jabatan Penerangan menerusi Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Bahagian Cawangan Daerah, ke arah memahami, menyokong dan menghargai usaha-usaha kerajaan dalam sama-sama membangun negara terutamanya bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Majlis Pembukaan program tersebut diadakan pagi tadi di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan.
Hadir, Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Saadiatul Nur Aqilah binti Haji Jaman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dikepalai oleh Pembantu Pegawai Luar Penerangan, Awang Haji Mahmud Hafidzie bin Haji Awang Ali Mashod, disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Cawangan Penerangan Daerah Temburong, Dayang Izzah Hazirah binti Haji Adi Othman.
Dalam ucapannya, beliau antara lain menyentuh mengenai tujuan utama program berkenaan iaitu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab kita dalam membangun negara, di samping meningkatkan kefahaman mengenai bidang keusahawanan dan program-program yang ditawarkan sama ada oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.
Selain itu, program juga bertujuan bagi memahami usaha-usaha kerajaan dalam mengatasi isu pengangguran dan mendorong pertumbuhan ekonomi, serta memberikan inspirasi kepada para peserta melalui lawatan sambil belajar ke perusahaan-perusahaan tempatan.
Selaras dengan tujuan program iaitu untuk menyuntik semangat dan menginspirasi anggota masyarakat dalam usaha-usaha meningkatkan taraf hidup, pengetahuan serta pendedahan kepada aktiviti-aktiviti peningkatan kapasiti dan pengetahuan; program ini telah disusun atur dengan beberapa sesi taklimat dan lawatan ke agensi-agensi kerajaan yang terpilih sesuai dengan tema pada kali ini iaitu 'Keusahawanan'.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)