Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Azmah Haji Ahad
BELAIT, Selasa, 17 September. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait, Bahagian Cawangan Daerah, hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Lumut II, Mukim Liang, Daerah Belait bertempat di Bilik Sungai Tali, Liang Lumut Recreation Club (LLRC), Jalan Pantai Lumut, di sini.
Hadir mengetuai rombongan Jabatan Penerangan ialah Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Dayang Saadiatul Aqilah binti Haji Jaman. Turut hadir menyampaikan maklumat kepada penduduk-penduduk kampung ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Air dan DST Network Sdn. Bhd. (DSTN).
Program dimulakan dengan mukadimah daripada ketua rombongan di mana beliau menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat yang terkini, dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan.
Antara lain landasan tersebut ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei dan salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat serta mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Ketua Kampung Lumut II, Awang Haji Khairdon bin Haji Dahlan dalam ucapan balas antara lain iaitu menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.
Di samping itu, ia juga dapat memberi peluang kepada penduduk-penduduk kampung untuk bertukar fikiran dan pandangan serta sebagai salah satu platform mencambah fikiran dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam.
Adalah diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Program Sua Muka turut diisikan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan alam sekitar, keselamatan dan kecemasan, prasarana dan kemudahan awam serta hal-hal lain.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)