Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
KATOK, Sabtu, 7 September. - Jerayawara Kenali ASEAN bertujuan untuk membarigakan dan memberi pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para pelajar sekolah menengah di negara ini.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan jerayawara berkenaan ke Sekolah Menengah Katok yang dihadiri seramai 158 pelajar Tahun 8.
Jerayawara yang diadakan di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Suzanah binti Haji Kurus, dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain mengetengahkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan para pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Dalam masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
%20(1).jpeg)
%20(1).jpeg)
%20(1).jpeg)
%20(1).jpeg)