Oleh : Nurul Rasyidah Mohamad Rosland / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 25 Ogos. - Pasukan Radio Televisyen Brunei (RTB) muncul juara dengan meraih 10 mata sekali gus membawa pulang piala rebutan pada Perlawanan Persahabatan Futsal anjuran Jabatan Penerangan yang berlangsung di Kompleks Sukan Tertutup, Jabatan Kerja Raya, hari ini.
Sebanyak lima buah pasukan menyertai perlawanan tersebut iaitu Pasukan Penerangan A, Pasukan Penerangan B, Pasukan RTB, Pasukan Jabatan Adat Istiadat Negara (JAIN) dan Pasukan Media Kerajaan dan Swasta.
Pada perlawanan tersebut, naib johan disandang oleh Pasukan Media Kerajaan dan Swasta diikuti oleh Pasukan Penerangan B di tempat ketiga manakala tempat keempat ialah Pasukan JAIN dan Pasukan Penerangan A meraih tempat kelima.
Hadir menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Antara objektif Perlawanan Persahabatan Futsal adalah untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim di antara rakan-rakan media dan strategik yang berkepentingan melalui aktiviti riadah.
Selain itu, ia juga berobjektif untuk mempertingkatkan pertukaran dan percambahan fikiran melalui pelbagai aktiviti yang bersesuaian serta membina jaringan kerjasama dan persefahaman yang lebih kukuh di samping ke arah warga sihat.
