Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
MUKIM SENGKURONG, Sabtu, 15 Jun. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan di samping untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hubungan Masyarakat, Seksyen Komunikasi Strategik, Bahagian Penerbitan dan Komunikasi Strategik, meneruskan Program Sua Muka yang mana kali ini adalah bagi Kampung Kulapis dan Kampung Mulaut.
Mengetuai rombongan Jabatan Penerangan, Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini yang disertai oleh beberapa pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada para penduduk kampung berkenaan ialah para pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dan DST Network Sendirian Berhad (DSTN).
Antara maklumat yang disampaikan ialah taklimat bersama dari JPE, Jabatan Perkhidmatan Air dan DSTN yang membarigakan mengenai TID Rollover dan meter pintar (USMS) yang penggunaan mandatori kepada sistem meter pintar (USMS) nanti akan bermula pada 24 November 2024, maka penting bagi penduduk kampung untuk mengetahui dan memahami kaedah penggunaan USMS tersebut ini bagi mengelakkan kekeliruan mengenai kos pembayaran bil.
Seterusnya perkongsian maklumat kepada penduduk Kampung Kulapis dan Kampung Mulaut, ialah taklimat dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan yang menyampaikan maklumat mengenai pengawalan infestasi lalat yang disebabkan oleh aktiviti-aktiviti penternakan dan pertanian.
Timbalan Pengarah Penerangan dalam mukadimahnya menerangkan bahawa Program Sua Muka Penerangan tersebut bukanlah satu program yang baharu malah program tersebut sudah lama diadakan dari sejak tahun 1980-an lagi, walau bagaimanapun tujuannya masih sama dari dulu hingga sekarang iaitu meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan melalui pembarigaan maklumat dan mengendalikan komunikasi bersemuka yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Kulapis, Awang Mohammad Asyramisyanie bin Kamis pula menyampaikan ucapan syabas dan tahniah atas usaha dan komitmen dalam menjayakan pengungkayahan Program Sua Muka Penerangan.
Menurut beliau, usaha tersebut merupakan platform yang berguna dalam menyampaikan maklumat yang jelas dan betul daripada pihak kerajaan kepada masyarakat kampung dan sekali gus membantu mengukuhkan hubungan erat di antara pihak kerajaan dan penduduk kampung.
Manakala Pemangku Ketua Kampung Mulaut, Awang Hamizan bin Haji Mustapa pula merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas peluang dan kesempatan yang diberikan melalui program tersebut untuk menyampaikan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh penduduk kampung.
Program Sua Muka diakhiri dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung yang antara lain berkaitan dengan keselamatan jalan raya, prasarana dan kemudahan awam, isu kebersihan persekitaran dan peluang peningkatan ekonomi di kampung-kampung berkenaan.
Program Sua Muka berkenaan juga diselitkan dengan penjualan buku-buku terbitan Jabatan Penerangan sendiri dan majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.



