Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Alishahrin Haji Mumin
TUTONG, Khamis, 13 Jun. - Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa, dasar kerajaan dan dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, hari ini mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Kawasan 3, Mukim Telisai, Daerah Tutong bertempat di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang, Jalan Bukit Bincaloi, di sini.
Hadir selaku ketua rombongan Jabatan Penerangan ialah Pegawai Penerangan Kanan, Awang Haji Fathi Foad bin Dato Seri Setia Haji Abu Bakar selaku Ketua Bahagian Cawangan Daerah yang disertai oleh beberapa orang pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.
Turut hadir menyampaikan maklumat terkini kepada penduduk-penduduk kampung berkenaan ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kemajuan Perumahan dan DST Network (DSTN) Sdn. Bhd.
Antara maklumat yang disampaikan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dan Jabatan Perkhidmatan Air mengenai pembarigaan TID Rollover dan meter pintar (USMS) yang mana penggantian mandatori kepada Sistem Meter Pintar (USMS) adalah percuma.
Seterusnya daripada DSTN pula membarigakan manfaat USMS yang mana pengguna dapat melihat penggunaan dari semasa ke semasa, boleh mengawal penggunaan dan menjimatkan perbelanjaan kepada penduduk kampung dan sekitarnya.
Ketua rombongan dalam mukadimah beliau telah menekankan mengenai peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan dalam menyampaikan apa jua maklumat, dasar kerajaan dan isu-isu semasa kepada rakyat dan penduduk di negara ini melalui beberapa landasan yang antara lain ialah Program Sua Muka dan juga melalui terbitan akhbar rasmi Pelita Brunei.
Program Sua Muka ini jelas beliau adalah salah satu program di bawah strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan dengan membarigakan maklumat dan mengendalikan program hubungan masyarakat yang dapat menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan mukim atau kampung.
Ketua Kampung Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang Kawasan 3, Awang Azman bin Haji Ismail dalam ucapan balas menyambut baik program berkenaan yang setentunya dapat memberikan manfaat dan peluang keemasan kepada penduduk kampung berkenaan untuk mendengar maklumat-maklumat terkini yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan dalam mengungkayahkan penyelesaian tentang beberapa isu yang dikemukakan dan perlu diketahui oleh penduduk kampung.
Sesi dialog bersama penduduk-penduduk kampung jelas beliau, dapat memberi peluang kepada penduduk-penduduk kampung untuk bertukar fikiran dan pandangan dalam usaha ke arah kemajuan dan kesejahteraan kampung dan juga Negara Brunei Darussalam. Adalah diharapkan program seumpama ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa.
Program berkenaan turut diisikan dengan perkongsian maklumat daripada agensi-agensi Kerajaan yang diundang dan sesi dialog bersama penduduk kampung mengenai isu-isu yang dibangkitkan yang antara lain berkaitan dengan keselamatan, prasarana, kemudahan awam dan perancangan kemajuan kampung.

.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)