Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Suntik semangat patriotisme, perkukuh sifat perpaduan

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 Mac. - Dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI pagi tadi mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN bagi 330 pelajar Tahun 7, 8 dan 9 Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien bertempat di Auditorium, maktab berkenaan, di sini.

Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat, Jabatan Penerangan, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan Moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti. (One Vision, One Identity, One Community).

Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Aplikasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN- COCI yang boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.

Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) di kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Pada masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

Juga hadir, Timbalan Pengetua Pentadbiran, Dayang Norliza binti Suhailee, serta para tenaga pengajar sekolah berkenaan.


JKA MAKTAB SOAS (1).jpg

JKA MAKTAB SOAS (4).jpg

JKA MAKTAB SOAS (5).jpg

JKA MAKTAB SOAS (6).jpg

JKA MAKTAB SOAS (2).jpg

JKA MAKTAB SOAS (3).jpg

 


Attachments
Created at 20/03/2024 10:59 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin
Last modified at 20/03/2024 10:59 AM by Mohammad Nurakram Bin Noraini @ Bahrin