Memperkukuh semangat patriotik, kenegaraan
Oleh : Aimi Sani / Foto : Azmah Haji Ahad
MENTIRI, Isnin, 19 Jun. - Jabatan Penerangan dalam usahanya menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, hari ini, mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Mentiri, di sini.
Program sebagai salah satu usaha berterusan jabatan tersebut dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Seramai 194 orang penuntut dari Tahun 7 menghadiri taklimat berkenaan yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengetua Sekolah, Dayang Aspalela binti Haji Moksin serta guru-guru kanan dan para tenaga pengajar sekolah.
Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Pemangku Pegawai Penerangan selaku Ketua Unit Kenegaraan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris, yang antaranya menyentuh mengenai raja kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara iaitu hendaklah memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna, bersih, tidak koyak dan pudar warnanya dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.
Dalam program tersebut, para penuntut juga turut menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara menaik-kibarkan bendera' serta menyertai Kuiz Kenegaraan dan menerima hadiah-hadiah sumbangan dari Jabatan Penerangan.

