20 pemenang Kuiz Penerangan terima hadiah
Siaran Akhbar : Jabatan Penerangan / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Selasa, 20 Jun. - Bersempena dengan Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-71, Tahun 2023, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri mengadakan Kuiz Penerangan melalui platform Akhbar Pelita Brunei dan rangkaian Radio Harmoni dan Pelangi serta juga melalui platform media sosial Jabatan Penerangan dan Jabatan Radio Televisyen Brunei di mana lebih 500 penyertaan telah diterima.
Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Penerangan telah diadakan bertempat di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, hari ini.
Seramai 20 orang pemenang menerima hadiah masing-masing disampaikan oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah. Turut hadir Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai-pegawai Jabatan Penerangan.
Kuiz Penerangan diadakan antaranya bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai terutama generasi baharu mengenai peranan Jabatan Penerangan kepada masyarakat serta memperlihatkan inisiatif-inisiatif dan usaha jabatan dalam melaksanakan strategi kerja seiring perkembangan semasa.
Sepanjang 71 tahun ini, Jabatan Penerangan secara berterusan melaksanakan strategi kerja yang antaranya meliputi komunikasi bersemuka bersama peringkat akar umbi dan orang ramai.
Walaupun terdapat platform media / komunikasi serta agensi-agensi yang mengendalikan peranan yang hampir serupa, namun Jabatan Penerangan tetap unggul dan menjadi pilihan bagi mendapatkan sumber yang sahih dan sebagai platform perantaraan di antara rakyat - kerajaan - rakyat.




