Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

331 pelajar ikuti Taklimat Kenali ASEAN

331 pelajar ikuti Taklimat Kenali ASEAN

 

Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 

TUTONG, Sabtu, 10 Jun. - Jabatan Penerangan melalui Meja Hal Ehwal Antarabangsa, Unit Perhubungan Korporat selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI hari ini, mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN dalam hasratnya untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini.

 

Seramai 331 orang pelajar Tahun 7, 8 dan 9 Sekolah Menengah Tanjong Maya hadir mendengarkan taklimat yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.

 

Program tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

 

Dalam pada masa yang sama, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

 

Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Ketua Meja Hal Ehwal Antarabangsa di Unit Perhubungan Korporat, Awang Eddy Iswandy bin Haji Ismail yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).

 

Taklimat juga mempromosikan mengenai aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

 

Aplikasi itu merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.

 

Turut hadir, Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Nazifah binti Haji Nawang; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Abd. Rahman bin Haji Jamudin dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.


JKA SMTM10062023(2).jpg

JKA SMTM10062023(3).jpg

JKA SMTM10062023(4).jpg

JKA SMTM10062023(5).jpg


Attachments
Created at 12/06/2023 04:07 PM by Unit Teknologi Maklumat dan Inovasi
Last modified at 27/01/2024 02:07 PM by hafizuddin.abubakar