BELAIT, Selasa, 21 Mac. - Dalam hasrat untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada para pelajar sekolah menengah di Negara Brunei Darussalam, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri menerusi Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI kali ini mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN ke Sekolah Saint John, Kuala Belait, di sini.
Seramai 157 pelajar menghadiri taklimat Kenali ASEAN yang disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.
Juga hadir, para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Program Jerayawara Kenali ASEAN berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan para pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.
Pada masa yang sama, menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN selaras dengan moto ASEAN: Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti.
Selain itu, ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.
Sejurus selepas penyampaian taklimat, kuiz ASEAN diadakan untuk mengetahui sejauh mana para pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranannya dalam membangun negara-negara anggotanya.
Turut dipromosikan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.
Aplikasi berkenaan merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android dan App Store bagi pengguna iOS.
SCI ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN, iaitu 'ASEAN Communication Master Plan II' (ACMP II) yang merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Wawasan ASEAN 2025.



