Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Dayang Nur Ridwana Syazwina juara pertandingan Kuiz ASEAN

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Mac. - Dayang Nur Ridwana Syazwina binti Sukardi dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan Kali Ke-10, Tahun 2022.

Naib juara disandang oleh Dayang Nur Aishah Irdhina binti Haji Ahmad Yani Zulkarnain, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Nursyamimi Syazwana binti Jefferyzin.

Ketiga-tiga pemenang tersebut merupakan penuntut-penuntut Tahun 9 dari Sekolah Ma'had Islam Brunei.

Sehubungan itu, Majlis Penyampaian Hadiah Bagi Pertandingan Kuiz ASEAN Kali Ke-10 diadakan petang tadi bertempat di Auditorium, Bangunan Tambahan Jabatan Penerangan, di sini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah-hadiah ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah selaku Pengerusi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) Komiti Kebudayaan dan Penerangan (ASEAN-COCI).

Terdahulu itu, Pemangku Pegawai Penerangan Kanan, Awang Mohamad Azmi bin Awang Damit dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, Kuiz ASEAN yang diadakan dua tahun sekali merupakan salah satu projek SCI ASEAN-COCI yang telah dilancarkan pada tahun 2002, dan negara-negara anggota ASEAN menganjurkan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau secara bergilir-gilir.

Kuiz tersebut tambahnya, bertujuan untuk memupuk semangat persaingan yang sihat dalam kalangan para belia ASEAN dalam peringkat sekolah menengah dalam suasana pertandingan kuiz yang mesra dan mendedahkan mereka kepada pelbagai maklumat mengenai budaya, politik, ekonomi dan sosial ASEAN; dan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia dan masyarakat awam mengenai ASEAN dan negara-negara anggotanya.

Seramai 243 pelajar yang mewakili 19 buah sekolah bertanding di Peringkat Saringan dan 20 pelajar telah mara ke Peringkat Separuh Akhir.

Ketiga-tiga pemenang memperoleh markah tertinggi 10 peserta yang bertanding di Peringkat Kebangsaan pada 29 November 2022 lalu, dan telah mewakili Negara Brunei Darussalam ke Pertandingan Peringkat Serantau secara dalam talian yang dianjurkan oleh Republik Kesatuan Myanmar selaku tuan rumah pada 14 Disember 2022 yang lalu.

Negara Thailand telah menganjurkan Kuiz ASEAN Peringkat Serantau pada tahun 2002, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2004, Malaysia pada tahun 2006, Republik Filipina pada tahun 2009, Kemboja pada tahun 2012, Republik Sosialis Viet Nam pada tahun 2014, Republik Demokratik Rakyat Laos pada tahun 2016, Republik Indonesia pada tahun 2018, Republik Singapura pada tahun 2020 dan Republik Kesatuan Myanmar pada tahun 2022.

Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa dengan kerjasama Unit Akli, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan telah berlangsung di Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas.

Turut hadir ialah Pegawai Kanan Jabatan Penerangan dan Jabatan Pendidikan Kokurikulum.2. Antara pelajar yang menyertai pertandingan secara online.jpeg

Antara pelajar yang menyertai pertandingan secara online.jpeg

d549871f-1201-4eae-b1fb-67897e3b693e.jfif7d11e9eb-d1b2-4aaa-bc78-4cf468b04aa7.jfif

Attachments
Created at 22/03/2023 11:40 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 22/03/2023 11:40 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim