Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BELAIT, Sabtu, 18 Mac. - Negara Brunei Darussalam (NBD) menyertai Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada 7 Januari 1984 sebagai negara keenam menyertai persatuan yang kini mempunyai 10 negara anggota.
ASEAN pada awalnya ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima negara pengasas iaitu Thailand, Indonesia, Filipina, Malaysia dan Singapura, sebelum disertai oleh NBD, Viet Nam, Laos, Myanmar dan Kemboja antara tahun 1984 hingga 1999.
Perisian taklimat Jerayawara Kenali ASEAN tersebut disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Setiausaha Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN - COCI kepada penuntut Sekolah St. Angela, Seria, di sini.
Seramai 40 penuntut menerima maklumat asas berkaitan ASEAN dan peranannya dalam membangun negara-negara anggotanya, di samping untuk menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness), selaras dengan moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identity, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).
Turut menghadiri taklimat yang diadakan di Bilik Perpustakaan sekolah berkenaan ialah Pengetua, Dayang Chea Wann Ching dan para tenaga pengajar sekolah. Jerayawara Kenali ASEAN diakhiri dengan Kuiz ASEAN dan sesi bergambar ramai.



