Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Barigakan maklumat asas berkaitan ASEAN

​​Berita dan Foto : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

KUALA BELAIT, Sabtu, 25 Februari. - Dalam hasratnya untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN ke Chung Hua Middle School, Kuala Belait, di sini.

Seramai 168 pelajar menghadiri taklimat tersebut hari ini yang disampaikan oleh Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim.

Turut hadir ialah Pengetua sekolah berkenaan, Dr. Chong Kui Hian; Timbalan Pengetua dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

Dalam masa yang sama menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN selaras dengan moto ASEAN : Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti (One Vision, One Identity, One Community).

Ia juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara pada satu masa nanti.

Sejurus selepas penyampaian taklimat, Kuiz ASEAN diadakan untuk mengetahui sejauh mana pelajar-pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranannya dalam membangun negara-negara anggotanya.

Turut dipromosikan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), Kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

Aplikasi tersebut merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.

Sekretariat SCI ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN iaitu 'ASEAN Communication Master Plan II' (ACMP II) yang merupakan salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Wawasan ASEAN 2025.

Terbitan berkenaan boleh didapati di laman sesawang Jabatan Penerangan melalui pautan 'https://www.information.gov.bn/English%20Publication%20PDF/ASEAN%20Communication%20Master%20Plan%202018-2025.pdf' dan juga di laman sesawang rasmi ASEAN iaitu 'www.asean.org'.

JKA Chung Hua Middle School 1.jpeg

JKA Chung Hua Middle School 2.jpeg

JKA Chung Hua Middle School 3.jpeg

JKA Chung Hua Middle School.jpeg

Attachments
Created at 07/03/2023 11:35 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 07/03/2023 11:35 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim