Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Pendedahan meluas mengenai ASEAN

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Adzraie Pg. Haji Nikman 

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 21 Januari. - Dalam hasratnya untuk membarigakan serta memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada pelajar-pelajar sekolah menengah di negara ini, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa, selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN bagi 187 pelajar Tahun 8 dan Tahun 9, Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Dewan Serbaguna sekolah berkenaan. 

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan (ASEAN-ness) khususnya dalam kalangan pelajar-pelajar untuk menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan. 

Dalam masa yang sama juga dapat mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya para pelajar yang bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara pada satu masa nanti. 

Taklimat Jerayawara Kenali ASEAN disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim yang juga selaku Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Penerangan. 

Semasa menyampaikan jerayawara, beliau menekankan untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan para pelajar sekolah yang juga merupakan sebahagian daripada masyarakat ASEAN, selaras dengan motonya, 'Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti' (One Vision, One Identity, One Community). 

Semasa taklimat tersebut, Kuiz ASEAN turut diadakan untuk mengenal pasti sejauh mana pelajar-pelajar mengetahui mengenai ASEAN dan peranan pertubuhan ini dalam membangun negara- negara anggotanya. 

Turut dipromosikan semasa taklimat berkenaan ialah aplikasi mudah alih 'We ASEAN' yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN (ASEAN Member States), kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video. 

Aplikasi mudah alih ini merupakan salah satu projek di bawah Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN- COCI. Ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS. 

Selain itu, Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI turut mempromosikan terbitan Sekretariat ASEAN iaitu ASEAN Communication Master Plan II (ACMP II) di mana terbitan ini adalah salah satu inisiatif bagi menyokong pelaksanaan Kuala Lumpur Declaration mengenai Wawasan ASEAN 2025. 

Terbitan tersebut bolehlah didapati di laman sesawang Jabatan Penerangan melalui pautan 'https://www.information.gov.bn/English%20Publication%20PDF/ASEAN%20Communication%20Master%20Plan%202018-2025.pdf' dan juga di laman sesawang rasmi ASEAN iaitu 'www.asean.org' dan juga di laman sesawang rasmi ASEAN iaitu 'www.asean.org'.  

 INFODEPT13_01.jpg

INFODEPT13_02.jpg

INFODEPT13_08.jpg

INFODEPT13_14.jpg

Attachments
Created at 25/01/2023 09:55 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 25/01/2023 09:55 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim