Oleh : Khartini Hamir / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 Januari. - Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' dihasrat akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.
Sehubungan itu, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' bagi Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), di Dewan Puteri, sekolah berkenaan.
Program yang dihadiri seramai 142 Penuntut Tahun 7 sekolah tersebut merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Juga hadir, Pengetua STPRI, Awang Haji Ismail bin Haji Brahim; Timbalan Pengetua; guru-guru akademik; dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Pegawai Luar Penerangan di Unit Kenegaraan, Dayang Zurairah binti Haji Lisa, antaranya menyentuh mengenai raja Kita, tatacara menaik-kibarkan bendera negara, iaitu hendaklah memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya serta sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'.
Para penuntut berpeluang menyaksikan tayangan klip video animasi, 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan, dikendalikan oleh Jabatan Penerangan.

