Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

566 kes baharu dicatatkan

​Oleh : Khartini Hamir



BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 November. - Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam ialah 643 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya, iaitu 649 kes sehari. Sebanyak 57,502 Keputusan Ujian ART dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu, di mana 7.8 peratus daripadanya adalah Keputusan Ujian ART yang positif. Perkara itu, dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini. Menurut Yang Berhormat, pada hari ini, dua kes dicatatkan di dalam Kategori 5, iaitu yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU), manakala tidak ada kes berada di dalam Kategori 4, iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi. Sehingga kelmarin, 27 November 2022, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 78.8 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini mendapatkan dos ketiga vaksin dan 11.2 peratus juga mendapatkan dos keempat. Turut dikongsikan pada hari ini, sebanyak 566 kes baharu dilaporkan, iaitu 564 kes hasil Ujian ART dan dua kes adalah hasil daripada 79 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam masa 24 jam lalu. Sementara itu, trend kes Influenza dan Jangkitan Serupa Influenza (Influenza-Like Illness, ILI) pada minggu lalu terus menunjukkan penurunan. Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat lagi, orang ramai adalah diingatkan untuk terus berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan, seperti mengasingkan diri jika mengalami tanda-tanda jangkitan dan mengelakkan dari tempat-tempat yang penuh sesak. ''Segera berjumpa doktor jika tanda-tanda jangkitan berterusan atau semakin teruk. Dapatkan suntikan Influenza, khususnya bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan mereka yang mempunyai masalah-masalah kesihatan,'' saran Yang Berhormat Menteri Kesihatan. Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat serta penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua.




Attachments
Created at 20/12/2022 02:31 PM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin
Last modified at 20/12/2022 04:03 PM by Ernie Erma Binti Haji Salihudin