Oleh : Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 November. - Sebanyak 616 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan kes yang sembuh meningkat kepada 243,002. Menurut Infografik Status Harian Normal Baharu COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada hari ini, sebanyak satu kes dilaporkan berada dalam Kategori 4, iaitu mereka yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi. Dalam masa yang sama, tidak ada kes dilaporkan dalam Kategori 5, iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU). Setakat 13 November 2022, Program Vaksinasi masih kekal di tahap yang tinggi, iaitu sebanyak 86.5 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun telah menerima dua dos vaksin manakala sebanyak 61.8 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah menerima tiga dos vaksin. Sementara itu, sebanyak 78.8 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan tiga dos vaksin dan 11.1 peratus telah menerima empat dos vaksin COVID-19.
