Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Kukuhkan semangat solidariti, patriotik penuntut

Berita dan Foto : Noraisah Haji Muhammed 

BELAIT, Isnin, 14 November. - Seramai 65 Penuntut Tahun 7, Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Kuala Belait menghadiri Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' yang merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik, dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara. 

Turut hadir pada program tersebut, Pengurus Operasi Sekolah, Awang Haji Ja'afar bin Ahmad dan para tenaga pengajar sekolah berkenaan. 

Taklimat Kenegaraan disampaikan oleh Ketua Unit Kenegaraan, Jabatan Penerangan, Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris. 

Antara isi taklimat yg disampaikan menyentuh mengenai raja, tatacara menaik-kibarkan bendera negara, iaitu hendaklah memastikan bendera negara dalam keadaan sempurna dan bersih, tidak koyak dan pudar warnanya dan sejarah Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 'Allah Peliharakan Sultan'. Para penuntut juga berpeluang menyaksikan klip video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera Negara'. 

Pelita Brunei berkesempatan menemu bual dua penuntut yang menyertai program berkenaan. 

Penuntut Tahun 7A, Dayang Nurul Nadia binti Reni, 13 tahun, berkongsi pendapat mengenai program yang disertainya itu sangat berfaedah untuk menambah pengetahuan, selain memahami makna semangat kebangsaan. 

Sementara bagi Penuntut Tahun 7A, Awang Mohamed Aliyan Mujibur Rahman, 13 tahun, dengan mengikuti program berkenaan membuatkan beliau semakin faham akan mustahaknya Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera Negara dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' yang disertainya. 

Di samping itu, program tersebut membantu menambah pengetahuan am para penuntut, di samping mereka turut berpeluang untuk menyertai sesi Kuiz Kenegaraan, yang diadakan di dalam program berkenaan. 

Program seumpama itu dihasrat dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut 

Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang berjaya menjawab Kuiz Kenegaraan, yang dikendalikan oleh Jabatan Penerangan dan sesi bergambar ramai. 

asean 1.jpg

asean 2.jpg

asean 3.jpg

asean 4.jpg


Attachments
Created at 16/11/2022 10:21 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 16/11/2022 10:21 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim