Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

PENTARAMA meriahkan malam perayaan Daerah Temburong

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Hamzah Mohidin

 

 

TEMBURONG, Jumaat, 22 Julai. - Dalam sama-sama memeriahkan lagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-76 Tahun, Jabatan Penerangan telah mengelolakan Persembahan PENTARAMA hari ini yang diadakan di Pentas Perayaan Kawasan Dermaga Pekan Bangar, Daerah Temburong, di sini.

 

Hadir bagi sama-sama menyaksikan persembahan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.

 

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

 

Persembahan pentas seumpama ini merupakan salah satu acara keraian sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang diadakan di keempat-empat daerah.

 

Melalui kaedah ini, Jabatan Penerangan memberikan pendidikan dan maklumat secara tidak langsung kepada orang awam tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara kita.

 

Selain persembahan lawak jenaka oleh Najib dan Loh dari BruHaHa, PENTARAMA juga diisikan dengan sketsa drama bertajuk 'Malam Aneka Ragam' oleh Kumpulan Putra Seni dan dimeriahkan dengan nyanyian solo daripada beberapa artis tempatan seperti Jazmeen, Pengiran Shahminan, Krunn Muhamad, Yaniey Junaini dan Fatin Muzini.

 

Sketsa tersebut juga diserikan dengan persembahan syair, sejak dan mukum. Manakala kumpulan pelawak BruHaHa mempersembahkan lawak jenaka bertajuk 'Norma Baharu'.

 

Penonton yang berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan juga menerima hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat. PENTARAMA seterusnya akan diadakan pada 23 Julai 2022 di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait.

download (1).jpg

download.jpg

Attachments
Created at 25/07/2022 11:15 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 25/07/2022 11:15 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim