Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Dekati masyarakat dalam Program Sua Muka

Oleh : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

TUTONG, Selasa, 7 Jun. - Dalam usahanya untuk menyampaikan maklumat mengenai isu-isu semasa dan dasar kerajaan serta dalam masa yang sama untuk menerima maklum balas yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkenaan, Jabatan Penerangan, melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong mengadakan Program Sua Muka bagi Kampung Bukit Udal, Mukim Tanjong Maya, hari ini yang diadakan di Balai Raya Kampung Bukit Udal, di sini.

 

Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Emzah antara lain mengongsikan mengenai penyebaran maklumat palsu di era digital yang tular dengan begitu cepat melalui pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, WeChat, Facebook, Twitter dan Instagram yang menyebabkan orang ramai merasa takut dan cemas.

 

Justeru beliau turut mengongsikan beberapa cara bagaimana mengenal pasti ciri-ciri berita palsu.

 

Menurut beliau lagi, apa yang lebih membimbangkan maklumat palsu dan berunsur fitnah itu diterima bulat-bulat tanpa merujuk kepada sumber yang sahih dan kemudiannya menjadi tular sehingga boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan juga keselamatan negara.

 

Malah menyebarkan berita palsu boleh membawa kepada tindakan di bawah perundangan, Penggal 148 Akta Ketenteraman Awam Seksyen 34 iaitu barang siapa sama ada melalui lisan atau tulisan atau apa cara sekalipun telah menyebarkan maklumat palsu atau membuat kenyataan palsu yang boleh menggemparkan atau menimbulkan keadaan cemas kepada pihak awam boleh didakwa dan dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda BND3000.

 

Beliau berkata lagi, sesiapa sahaja melakukan atau mencuba untuk melakukan atau menyediakan atau bersubahat untuk menjalankan hasutan; menggunakan perkataan yang merupakan hasutan; mencetak, menyiarkan, menjual, menawarkan untuk menjual, mengedarkan atau mencetak semula sebarang hasutan; serta membawa masuk sebarang warta yang berbentuk hasutan, kecuali dia tidak mempunyai sangkaan bahawa ia berbentuk hasutan, maka mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua  tahun dan denda BND5000 seperti yang dinyatakan pada Akta serta Penggal 24 Akta Hasutan Seksyen 4 (1).

 

Program diteruskan dengan sesi dialog mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh penduduk kampung berkaitan dengan prasarana dan kemudahan awam.

 

Turut sama dalam sesi dialog berkenaan adalah para pegawai dari Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan.

 

Program Sua Muka atau Personal Contact yang juga dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan-rakyat dan rakyat-kerajaan serta membarigakan maklumat dan program serta perkembangan dan kemajuan mukim.

 

Program tersebut turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar, Awang Muhammad Azmi bin Muhammad.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau antara lain menyentuh mengenai perkembangan dan kemajuan kampung dan berharap program seumpama ini akan dapat mengongsikan lebih banyak maklumat yang berguna demi kesejahteraan hidup berbangsa, beragama dan bernegara.


PSX_20220607_130029.jpg

PSX_20220607_130336.jpg

Attachments
Created at 08/06/2022 10:16 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 08/06/2022 10:16 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim