Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto :
Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Rabu, 1 Jun. - Majlis Penyampaian
Hadiah Kuiz Penerangan sempena Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan
Penerangan Ke-70, Tahun 2022 anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana
Menteri, diadakan di Galeri Lentera Makmur, Bangunan Asal Jabatan Penerangan.
Kuiz Penerangan tersebut diadakan
bermula pada 7 Mei 2022 melalui platform akhbar rasmi Kerajaan, Pelita Brunei
dan rangkaian-rangkaian radio dengan kerjasama pihak Radio Televisyen Brunei
(RTB).
Kuiz Penerangan merupakan salah satu
program bersempena Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-70,
Tahun 2022 berobjektif untuk memberi pendedahan kepada orang ramai, terutama
generasi baharu tentang peranan Jabatan Penerangan dalam melaksanakan strategi
kerja kepada masyarakat seiring dengan perkembangan zaman, di samping
memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan jabatan kepada orang ramai.
Kuiz ini berjaya menarik minat
penyertaan dari pelbagai peringkat umur masyarakat di negara ini.
Seramai 20 pemenang kuiz, iaitu 10
orang dari penyertaan di Pelita Brunei dan 10 orang lagi dari
rangkaian-rangkaian radio menerima hadiah masing-masing daripada Pemangku
Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Turut hadir, Pemangku Timbalan Pengarah
Penerangan serta Pegawai-pegawai Kanan Jabatan penerangan.
Selain Kuiz Penerangan, Jabatan
Penerangan mengatur beberapa acara bersempena Sambutan Memperingati Penubuhan
Jabatan Penerangan Ke-70, Tahun 2022, antaranya Majlis Doa Kesyukuran, Majlis
Membaca Yaa Siin dan Tahlil, di Kubah Makam Diraja, khusus buat ayahanda, bonda
dan anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien
Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam; dan
Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran
Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman; serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia
Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim juga Kempen Derma Darah.