Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Penubuhan Jabatan Penerangan

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mei. – Bersempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-70 Tahun pada tahun ini, Majlis Membaca Surah Yaa Siin dan Tahlil telah diadakan di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.

 

Majlis tersebut adalah khusus buat ayahanda, bonda dan anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Abdul Rahman serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim.

 

Majlis keagamaan itu dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

 

Juga hadir, Timbalan Menteri Jabatan Tenaga di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM dan Jabatan Tenaga serta pegawai-pegawai kanan dari JPM.

 

Majlis tersebut turut dihadiri oleh lebih 90 pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan.

 

Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Mohd. Zaidin bin Haji Mohd. Noor yang juga mengepalai Doa Tahlil serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

 

Pada sebelah pagi, Jabatan Penerangan telah menganjurkan Majlis Doa Kesyukuran selain beberapa program lain antaranya Kempen Derma Darah, Kuiz Hari Penerangan dan terbitan Rencana Khas di keluaran Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei.

 

Majlis seumpama ini merupakan salah satu aktiviti keagamaan yang disusun bagi menyemarakkan Sambutan Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan Ke-70, Tahun 2022.

 

Jabatan Penerangan yang mulanya dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan Brunei, ditubuhkan pada 1 April 1952 dengan visi 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat'.

 

Wujudnya Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei, pada 15 Februari 1956 adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai rancangan dan matlamat pembangunan negara, dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan kehidupan rakyat sejagat, pengumuman-pengumuman penting juga apa jua perubahan yang berhubung kait dengan kepentingan negara dan orang ramai.

 

Begitu juga bahan-bahan terbitan Jabatan Penerangan memainkan peranan untuk menyerlahkan imej raja dan negara, memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang dasar kerajaan, sosioekonomi, pendidikan, keagamaan, pencapaian dan perkembangan negara, tempat-tempat menarik, sejarah, kebudayaan, seni kraf tangan, makanan juga warisan.

 

Jabatan Penerangan dengan usahanya dalam menjaga imej negara dengan mengawal selia, memantau dan menyelaras hubungan media juga korporat di dalam dan luar negara.

Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Penubuhan Jabatan Penerangan(1).jpg

 Bacaan Surah Yaa Siin, Tahlil sempena Penubuhan Jabatan Penerangan(2).jpg

Attachments
Created at 01/06/2022 09:14 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 01/06/2022 09:14 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim