Oleh : Hajah Siti
Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
BERAKAS, Sabtu, 23
April. - Lebih
80 penyertaan diterima pada Kuiz Kenegaraan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan
Negara Brunei Darussalam (NBD) Kali Ke-38, Tahun 2022 anjuran Jabatan
Penerangan, Jabatan Perdana Menteri yang bermula pada penghujung Mac lalu.
Daripada jumlah
tersebut, seramai 12 penyertaan terpilih sebagai pemenang dan menerima hadiah
bagi Kuiz Kenegaraan berkenaan.
Sehubungan itu, Majlis
Penyampaian Hadiah Kuiz Kenegaraan tersebut berlangsung di Galeri Lentera
Makmur, Bangunan Asal Jabatan Penerangan.
Hadir menyempurnakan
penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Penerangan,
Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.
Turut hadir, Pemangku
Timbalan Pengarah Penerangan serta pegawai-pegawai kanan jabatan.
Ketua Unit Kenegaraan,
Dayang Hajah Noorhijrah binti Haji Idris dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan
bahawa Kuiz Kenegaraan ini merupakan projek yang julung-julung kalinya diadakan
oleh Jabatan Penerangan melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Komunikasi Strategik
yang bertujuan untuk menambah kepelbagaian platform pembarigaan maklumat ke
arah meningkatkan semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat dan penduduk di
negara ini.
Selain memeriahkan
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun ini, kuiz ini juga dihasratkan
untuk menambah pengetahuan orang ramai mengenai peristiwa, perkara-perkara
berbentuk kenegaraan dan sambutan-sambutan terdahulu dengan menjadikan akhbar
rasmi kerajaan, Pelita Brunei sebagai sumber rujukan.
Menurutnya, sebanyak
empat kali keluaran kuiz telah disiarkan melalui akhbar rasmi kerajaan Pelita
Brunei bermula penghujung bulan Mac 2022 selain melalui media-media sosial
Jabatan Penerangan.
Salah seorang pemenang,
Awang Haji Aminuddin bin Haji Abdul Karim @Ma'amor, 58 tahun, dari Rancangan
Perumahan Negara (RPN) Kampung Bukit Beruang berpendapat, Kuiz Kenegaraan yang
diadakan adalah sangat bermanfaat kerana ia secara langsung memberikan
pendedahan dan maklumat kepada para pembaca dan mencari jawapan melalui rujukan
dalam akhbar Pelita Brunei.
Bagi generasi baharu,
terutamanya pelajar-pelajar sekolah adalah disarankan untuk mengamalkan sikap
rajin membaca untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan mengetahui apa jua yang
terjadi di sekeliling kita sama ada melalui akhbar mahupun daripada media-media
massa.
Sementara itu, Dayang
Siti Norafiqah binti Awang Nawawi dari Kampung Lambak Kiri yang masih menuntut
pada ketika ini juga berpendapat, akhbar Pelita Brunei memberikan banyak
maklumat, berita-berita terkini dan sebagai bahan untuk rujukan beliau.
