Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Jabatan Penerangan catat satu 'milestone' bersejarah

Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 April. - Dalam menelusuri 69 tahun penubuhannya, Jabatan Penerangan mengalami pelbagai anjakan paradigma dalam menyebarkan maklumat kepada segenap lapisan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, Jabatan Penerangan mencatat satu lagi 'milestone' bersejarah dengan Perasmian Galeri Lentera Makmur, disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud.

Terdahulu itu, Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Haji Shahrul Jeffri bin Dato Paduka Haji Ibrahim, dalam ucapan alu-aluannya, antara lain menjelaskan, Jabatan Penerangan yang mulanya dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan Brunei, ditubuhkan pada 1 April 1952.

'Alhamdulillah, Jabatan Penerangan bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah kurnianya jua kita dapat menyambut Hari Penerangan yang Ke-69, pada tahun ini''.

''Jabatan Penerangan tidak kurang dengan cabarannya dan telah melalui pelbagai perubahan peredaran zaman. Peranan dan fungsi jabatan juga semakin berkembang demi sama-sama mendukung hasrat negara. Namun, objektif asal penubuhan, iaitu untuk menyalurkan dan membarigakan maklumat dasar dan aktiviti kerajaan kekal relevan dan masih ditanai hingga ke hari ini,'' ujarnya lagi.

Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Haji Shahrul Jeffri, seterusnya menjelaskan, sesuai dengan visi 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat', jabatan akan sentiasa mengamalkan 'responsible reporting practices' dan akan mengikut peraturan-peraturan juga undang-undang yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa dalam menyampaikan perkhidmatan penerangan.

Galeri Lentera Makmur merupakan sebagai nilai tambah pada platform penyebaran maklumat yang sedia ada, sejajar dengan objektif asal Penubuhan Jabatan Penerangan, pada 1 April 1952, untuk menyalurkan maklumat, dasar dan aktiviti kerajaan kekal relevan dan masih ditanai secara berterusan sehingga ke hari ini.

Fokus galeri tersebut adalah kepada pengukuhan imej baik Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan memastikan penyaluran maklumat dengan dasar program dan aktiviti juga inisiatif kerajaan menangani isu-isu terkini dibarigakan secara telus, tangkas dan berkesan.

Empat aspek yang terdapat di galeri tersebut, iaitu Raja Kita; Strategi Bahan-bahan Terbitan; Strategi Komunikasi Bersemuka; dan Strategi Perhubungan Media dan Media Baharu.

Wujudnya Akhbar Rasmi Kerajaan Pelita Brunei, pada 15 Februari 1956 adalah untuk menyampaikan maklumat mengenai rancangan dan matlamat pembangunan negara, dasar-dasar kerajaan yang berkaitan dengan kehidupan rakyat sejagat, pengumuman-pengumuman penting juga apa jua perubahan yang berhubung kait dengan kepentingan negara dan orang ramai.

Begitu juga bahan-bahan terbitan Jabatan Penerangan memainkan peranan untuk menyerlahkan imej raja dan negara, memberikan kefahaman kepada masyarakat tentang dasar kerajaan, sosioekonomi, pendidikan, keagamaan, pencapaian dan perkembangan negara, tempat-tempat menarik, sejarah, kebudayaan, seni kraf tangan, makanan juga warisan

Melalui Strategi Komunikasi Bersemuka, pelbagai program kenegaraan dan kemasyarakatan dilaksanakan sebagai platform komunikasi dua hala di antara kerajaan dan masyarakat, di mana program tersebut adalah untuk menyemai juga memupuk rasa cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara, di samping mengukuhkan semangat solidariti, patriotisme juga kenegaraan yang tinggi berkonsepkan Melayu Islam Beraja.

Dengan mengadaptasi era globalisasi, Jabatan Penerangan tidak ketinggalan menggunakan media baharu dalam penyebaran maklumat melalui media sosial Jabatan Penerangan, seperti Aplikasi Mudah Alih 'InfoDeptBN'; Media Sosial Jabatan Penerangan dan Pelita Brunei; Skrin Bermaklumat Jabatan Penerangan dan sebagainya.

Jabatan Penerangan juga berusaha untuk menjaga imej negara dengan mengawal selia, memantau dan menyelaras hubungan media juga korporat di dalam dan luar negara.

Hadir sama pada majlis tersebut, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di JPM; dan Pegawai-pegawai Kanan JPM; Pegawai-pegawai Perhubungan Awam Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan kerajaan; juga warga kerja Jabatan Penerangan.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke Galeri Lentera Makmur pada hari-hari bekerja, iaitu Isnin hingga Khamis dan Sabtu, mulai 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari; dan dibuka semula pada 2.00 petang hingga 4.00 petang.

Bagi pengunjung secara berkumpulan hendaklah terlebih dahulu menghubungi Jabatan Penerangan menerusi talian +673 2383400 sambungan Unit Perhubungan Korporat.

INFODEPT13_04.jpg

INFODEPT13_15.jpg

INFODEPT13_20.jpg

Attachments
Created at 19/04/2021 09:09 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim
Last modified at 19/04/2021 09:09 AM by Mohammad Khaiddir Shah Bin Hj Abdul Halim